KPJ Healthcare jual semua kepentingan dalam hospital pakar di Indonesia

KPJ Healthcare Bhd menjual kesemua 80% kepentingan bernilai RM28 juta dalam PT Khidmat Perawatan Jasa Medika kerana kesukaran subsidiarinya itu mematuhi keperluan pelesenan dan pengawalseliaan yang dikenakan ke atas pengendali asing. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Bhd melupuskan keseluruhan 80% kepentingan dalam operasi hospital pakar di Jakarta Barat, Indonesia pada harga 96 bilion rupiah (kira-kira RM28 juta) disebabkan oleh kesukaran subsidiarinya itu dalam mematuhi keperluan pelesenan dan pengawalseliaan yang dikenakan ke atas pengendali asing.

Kumpulan itu semalam memeterai perjanjian untuk menjual kepentingan dalam PT Khidmat Perawatan Jasa Medika (KPJM) kepada Irfan Jasri, yang memiliki 20% kepentingan dalam KPJM dan saham kepada Annie Trisusilo, pengarah perubatan daripada RS Medika Bumi Serpong Damai, sebuah lagi hospital KPJ di Indonesia.

KPJM memiliki sebuah hospital pakar di ibu negara republik berkenaan yang dikenali sebagai RS Medika Permata Hijau.

“Cadangan pelupusan itu adalah sebahagian daripada langkah penyusunan semula yang lebih meluas yang sedang diterokai bagi membolehkan KPJ mematuhi sepenuhnya keperluan pelesenan serta peraturan pihak berkuasa Indonesia.

“KPJ akan membuat pengumuman yang diperlukan sebaik sahaja proses penyusunan semula yang melibatkan operasi hospitalnya di Indonesia dimuktamadkan,” kata KPJ dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

KPJ dalam Laporan Tahunan 2019 menyatakan 2 buah hospital miliknya di Jakarta mencatatkan pertumbuhan 2 angka pada tahun lepas berikutan peningkatan bilangan pesakit.

Pendapatan RS Medika Permata Hijau menokok 23% kepada RM27.2 juta pada 2019, menurut laporan tersebut.