KPM teliti keperluan tutup sekolah di Sabah, kata Ismail

Isnin lepas Jabatan Kesihatan Sabah mengesahkan 2 murid sekolah rendah di negeri itu positif Covid-19. Rakan sekelas dan keluarga pesakit juga diperintahkan menjalani kuarantin selama 14 hari.

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan sedang meneliti keperluan untuk menutup semula sesi persekolahan susulan kes baru Covid-19 membabitkan 2 murid di sebuah sekolah rendah di Sabah, Isnin lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian itu akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

“Saya difahamkan mereka sedang meneliti sama ada hendak benarkan sesi persekolahan untuk semua atau hanya dibuka kepada pelajar mengambil peperiksaan utama sahaja,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada kerajaan akan menutup semula sesi persekolahan berikutan perkembangan baru di Sabah yang disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) semalam.

JKNS mengesahkan 2 murid berkenaan positif Covid-19 pada Isnin. Rakan sekelas dan keluarga pesakit juga diperintahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail berkata, penguatkuasaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat sesak dan pengangkutan awam yang bermula 1 Ogos depan bergantung kepada budi bicara polis.

“Bila kata wajib, kalau langgar peraturan memang kena tindakan. Bagaimanapun dari segi pelaksanaan ia bergantung kepada budi bicara polis…lazimnya kalau dulu sekiranya di peringkat awal pesalah hanya diberi nasihat dan ditegur.

“Sekarang terpulang kepada polis dan kesalahan itu diwartakan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) yang boleh dikompaun,” katanya.