Lebih baik Shafie Apdal fokus jadi PM, kata Najib

Bekas Perdana Menteri Najib Razak membidas Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atas permohonan beliau bagi membuka laluan kepada pilihan raya kilat di negeri itu.

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Najib Razak menasihatkan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal supaya fokus pada perjuangan menjadi perdana menteri bersama Pakatan Harapan (PH) daripada bimbang mengenai hal di negeri itu.

Beliau berkata demikian susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atas permohonan Shafie bagi membuka laluan kepada pilihan raya kilat di negeri itu.

“Sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dia (Shafie) rompak mandat kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah. Masa itu dia tak minta bubar DUN.

“Bulan lepas, dia kata tak perlu bubar DUN Sabah kerana Covid-19 dan keperluan menanangi krisis ekonomi.

“Hari ini, dia minta bubar DUN pulak. Kononnya mandat rakyat yang mereka pernah rompak telah dirompak,” kata Najib dalam kenyataan di Facebooknya.

Terdahulu, Shafie berkata Yang di-Pertua Juhar Mahiruddin bersetuju untuk membubarkan DUN atas permohonannya.

Perkembangan ini menyusuli dakwaan bekas ketua menteri Musa Aman semalam mengatakan beliau mempunyai sokongan secukupnya untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Melihat kepada perkembangan semasa, Shafie menegaskan beliau dari segi undang-undang berhak memohon pembubaran DUN walau berapa pun sokongan yang didakwa dimiliki pembangkang.