Muhyiddin ingatkan umat Islam tentang sabar, lapang dada tempuh kesukaran sempena Aidiladha

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa rakyat supaya melaksanakan ibadah korban dengan penuh penghayatan di samping mematuhi SOP Covid-19 ditetapkan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Hari Raya Aidiladha kali ini mengingatkan umat Islam di negara ini tentang erti kesabaran dan berlapang dada dalam menempuh kesukaran hidup, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yasin.

Beliau berkata rakyat di negara ini secara keseluruhannya telah melakukan pengorbanan sepenuh jiwa dan raga sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, termasuk perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa pada waktu ini.

“Alhamdulillah, hasilnya kita telah berjaya mengawal penularan wabak Covid-19.

“Namun begitu, saya hendak mengingatkan bahawa kita masih belum berjaya sepenuhnya dalam memerangi wabak itu. Malaysia dan banyak negara lain masih belum diisytiharkan bebas daripada pandemik ini.

“Bahkan sejak mutakhir ini, terdapat sedikit peningkatan kes-kes positif Covid-19 di negara kita. Justeru, kita tidak boleh leka dan alpa.

“Sebaliknya kita mesti terus berusaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidiladha malam ini.

Muhyiddin berkata, bersempena dengan sambutan Aidiladha mulai esok sehingga 13 Zulhijjah, rakyat diingatkan agar melaksanakan ibadah korban dengan penuh penghayatan di samping mematuhi SOP yang ditetapkan.

Mengambil maklum ramai yang akan melaksanakan ibadah korban, iaitu suatu ibadah yang sangat dituntut oleh syarak, beliau telah memperincikan mengenai SOP yang perlu dipatuhi oleh semua.

“Hadkan jumlah yang hadir di tempat penyembelihan tidak melebihi 20 orang bagi seekor lembu. Anda juga tidak dibenarkan mengadakan kenduri di tempat ibadah korban dijalankan.

“Apabila selesai sahaja memotong dan membahagikan daging korban, segeralah pulang ke rumah masing-masing.

“Di rumah pula, pastikan jumlah sanak-saudara yang datang berziarah tidak melebihi 20 orang pada satu masa. Elakkan bersalam-salaman.

“Jika di rumah anda ada ahli keluarga yang sedang menjalani kuarantin di rumah, beritahu sanak-saudara, jiran dan sahabat jangan datang ziarah. Ini bahaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli keluarga yang sedang menjalani kuarantin tidak keluar dari rumah.

“Jangan dia pula yang berjalan ke sana ke sini. Saya dapat laporan ada dalam kalangan mereka yang sedang menjalani kuarantin di rumah keluar dari rumah.

“Ini satu kesalahan berat. Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang melanggar arahan kuarantin.”

Muhyiddin berkata, tujuan beliau menjelaskan mengenai SOP secara agak terperinci adalah sebagai peringatan kepada umat Islam yang menyambut perayaan itu dan pada hari-hari tasyrik.

“Saya nak mengingatkan juga jika kita tidak peka dan berhati-hati, kemungkinan jangkitan Covid-19 merebak semasa musim perayaan ini adalah tinggi. Kita nak elakkan perkara ini daripada berlaku. Jadi, lebih baiklah kita beringat dan berwaspada.

Sementara itu, kepada bakal jemaah haji yang tertangguh peluang menunaikan rukun Islam ke-5 pada tahun ini akibat wabak Covid-19, beliau berdoa semoga umat Islam berpeluang menunaikan ibadah haji pada tahun hadapan.

“Tanpa mengenal erti putus asa, marilah kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga wabak Covid-19 segera berakhir.

Muhyiddin mengakhiri ucapannya dengan mengucapkan selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Malaysia.