Pemimpin Pemuda PKR Sabah pertahan ketua dirujuk ke jawatankuasa disiplin

Setiausaha Pemuda PKR Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata sayap itu tidak bercadang untuk mengambil tindakan terhadap ahli parti di Sabah.

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah Razeef Rakimin akan dirujuk ke jawatankuasa disiplin, susulan kenyataan mempertahankan seorang ketua parti negeri, Kenny Chua, berkait isu sokongan kepada pentadbiran Shafie Apdal.

“Pendirian parti jelas. Kami sokong Shafie sebagai ketua menteri,” kata Pengarah Strategi Sim Tze Tzin di Twitter hari ini.

“Razeef Rakimin akan dirujuk ke jawatankuasa disiplin parti.”

Sementara itu, Pemuda PKR pusat berkata sayap itu tidak bercadang untuk mengambil tindakan terhadap ahli parti di Sabah.

Katanya, pemimpin parti di Sabah lebih memahami dinamik politik yang sedang berlaku di negeri itu.

“Pemuda PKR menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan Pemuda PKR Negeri Sabah untuk membuat penilaian semasa kerana mereka lebih memahami dinamik politik yang sedang berlaku di sana,” kata Setiausaha Pemuda PKR Ahmad Syukri Che Ab Razab

Terdahulu, Pemuda PKR Sabah membidas dakwaan naib pengerusinya mengkhianati “kerajaan PH Plus” di Sabah, meminta pengkritik jangan memaksa mereka menyokong Presiden Warisan Shafie Apdal yang didakwa “lebih rela berada di blok bebas” daripada bersama Pakatan Harapan.

Razeef mendedahkan majoriti akar umbi menyokong tindakan Kenny Chua menarik balik sokongan kepada “kerajaan Warisan”, yang bukan saja “tidak menyokong PH malah dengan angkuh menindas PKR”.

“Jika kerajaan Sabah kerajaan PH Plus, Shafie tidak akan menolak Amanah di Sabah sehingga Amanah dilihat seolah mengemis,” katanya dalam kenyataan.