PKS sambut baik lanjutan moratorium, saran bank laksana banyak perkara

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata lanjutan moratorium pinjaman dijangka memanfaatkan 3 juta individu dan PKS.

PETALING JAYA: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyambut baik moratorium lanjutan untuk tempoh 3 bulan, namun mengatakan bank boleh membuat lebih banyak lagi untuk membantu syarikat pulih daripada kesan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurut presiden Persatuan PKS Malaysia, Michael Kang Hua Keong, kebanyakan PKS tidak bersedia untuk tempoh moratorium tamat, yang pada awalnya dijadualkan pada 30 September.

Beliau berkata lanjutan 3 bulan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam akan memberi lebih banyak masa kepada bank dan PKS bekerjasama memulihkan ekonomi dengan lebih cepat.

“Apa yang lebih penting ialah bank perlu menyokong PKS. Jika beberapa perusahaan menghadapi kesulitan membayar semula pinjaman, bank boleh membantu menyusun semula pinjaman supaya PKS dapat mengharungi pandemik ini,” kata Kang kepada FMT.

Beliau berkata jika bank dapat membantu pembiayaan PKS di samping lanjutan itu, kebanyakan perniagaan akan mampu bertahan dalam krisis ini.

“Jadi, mereka boleh menjaga pekerja mereka dan membantu ekonomi pulih lebih cepat,” katanya.

Muhyiddin mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang lebih bertumpu, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan, seperti individu yang kehilangan pekerjaan tahun ini.

Selepas 3 bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

Sementara itu, bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji terjejas atau berkurangan, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

Langkah itu dijangka memanfaatkan 3 juta individu dan PKS. Mereka yang layak boleh menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos.