Polis Selangor jejak 88 gagal hadir saringan ke-2 Covid-19

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata, polis menubuhkan pasukan khas untuk mengesan penama dan sekiranya didapati bersalah tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 269 dan 270 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Polis Selangor sedang menjejaki 88 individu yang gagal membuat saringan ke-2 ujian Covid-19 selepas 13 hari dari tarikh saringan awal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata, kesemua mereka sebelum ini membuat saringan pertama dan menerima arahan kuarantin di rumah daripada Kementerian Kesihatan.

“Disebabkan itu, kami menubuhkan pasukan khas untuk mengesan penama ini dan sekiranya didapati bersalah tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Dengan ini, saya mendesak semua penama yang masih tidak buat saringan ke-2 supaya hadir ke klinik kesihatan dengan segera,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Fadzil berkata, kegagalan mereka menjalani ujian saringan kedua itu akan menggusarkan masyarakat kerana virus itu boleh menular jika ujian saringan tersebut didapati positif.

Beliau berkata sebanyak 3,267 kompaun dikeluarkan kepada individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan dan daripada jumlah itu hanya 639 membuat pembayaran.