Rakyat Malaysia masuk ke Sarawak diberi gelang tangan

Gelang tangan akan diberikan kepada rakyat Malaysia yang tiba di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri bermula Sabtu ini..

KUCHING: Semua rakyat Malaysia dari semenanjung, Labuan dan Sabah yang memasuki Sarawak akan diberikan gelang tangan dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula Sabtu ini.

Bagaimanapun mereka dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19 di klinik kesihatan berdekatan pada hari pertama atau ke-2 selepas ketibaan, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Pengerusinya Douglas Uggah Embas memberitahu sidang media hari ini bahawa hanya mereka yang destinasi akhirnya berada di luar Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri perlu menjalani kuarantin.

“Ujian Covid-19 akan dijalankan pada hari ke-2 selepas tiba. Mereka hanya dibenarkan pulang jika keputusan ujiannya negatif,” katanya.

Terdahulu diumumkan bahawa semua rakyat Malaysia yang memasuki negeri itu perlu menjalani kuarantin di pusat ditetapkan dan disaring.

Uggah juga berkata, waktu operasi perniagaan di Kuching, Samarahan dan Serian dihadkan antara jam 6 pagi hingga 10 malam.

Bagaimanapun stesen minyak dan kilang dikecualikan.

“Stesen minyak dan kilang dibenar beroperasi seperti biasa, tetapi pengusaha harus memaklumkannya kepada jawatankuasa ini,” katanya.

Uggah sebelum itu berkata, tiada kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini, dengan jumlah kes positif kekal sebanyak 677.

Angka kematian akibat Covid-19 juga kekal 19 kes di negeri itu.