Tidak perlu tutup sekolah, tadika, kata KP Kesihatan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian memberi jaminan sudah membuat pembasmian di Kedah dan Sabah dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan tidak mengesyorkan penutupan tadika atau sekolah susulan kes baru Covid-19 di Sabah dan Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kes di Sabah, selepas saringan dibuat membabitkan guru dan murid di sekolah terbabit, tiada jangkitan dikesan.

“Kita tidak cadang tutup sekolah atau tadika, tetapi fokus kepada proses nyah kuman dan saringan lokaliti.

“Jadi, tiada kluster baru dalam 2 kes di Sabah,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Sementara itu katanya, bagi kes di Kedah, pihak kementerian sudah menyaring 134 individu dengan 6 daripadanya didapati positif, manakala 67 lagi negatif, sementara 70 yang lain masih memunggu keputusan.

“Kita beri jaminan kita sudah buat pembasmian di Kedah dan Sabah dalam usaha mengekang penularan ini,” katanya.

Semalam, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Christina Rundi, dalam kenyataannya mengesahkan terdapat 2 murid sekolah rendah disahkan positif Covid-19 melibatkan kes 389 dan 390.

Menurut kenyataan tersebut, kes 389 merupakan pelajar perempuan di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, yang dirujuk dari klinik kesihatan dan dikesan positif semasa saringan kemasukan wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.

Manakala kes 390 dilaporkan di Papar, melibatkan pelajar yang tidak hadir sekolah sejak awal tahun.

Sementara di Kedah, ia membabitkan kluster baru, iaitu kluster PUI Sivagangga, India.

Ia membabitkan seorang pemilik kedai nasi kandar dan 4 kes positif dalam kluster terbabit ialah pekerja premis terbabit.

Premis itu sudah ditutup untuk menjalani proses pembersihan dan nyah kuman.

Sebuah tadika, iaitu Tabika Kemas Kampung Tebing, Kubang Pasu terletak paling hampir dengan kedai makan terbabit, hanya kira-kira 500 meter.