Adun Sabah dakwa ditawar wang enggan buat laporan SPRM

KOTA KINABALU: Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah S Karunanithy berkata Adun yang sebelum ini mendakwa ditawarkan wang untuk berhijrah parti enggan membuat laporan rasmi kepada badan itu.

SPRM menghubungi Adun berkenaan namun mereka enggan membuat laporan rasmi dengan alasan tiada sebarang transaksi rasuah berlaku ketika ini.

“Bagaimanapun, SPRM Sabah akan terus menjalankan siasatan dan bersedia menerima aduan serta maklumat berkaitan daripada mana-mana pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, beberapa Adun khususnya daripada pemerintah Sabah mendakwa ditawarkan jutaan ringgit sekiranya mereka bersetuju untuk berpaling tadah dan beberapa laporan polis turut dibuat.

Antara Adun yang membuat dakwaan itu termasuk Adun Sindumin Yusof Yacob; Calvin Chong (Elopura); dan Arunarsin Taib (Gum Gum).