Badut ‘Uncle Ting Tong’ tabah cari rezeki jaga 3 anak talasemia

Orang ramai bergambar bersama Roslee Yusof atau Uncle Ting Tong semasa sambutan Hari Merdeka ke-62 di Dataran Putrajaya tahun lepas.

PETALING JAYA: Menjadi badut dan manusia patung bukan perkara mudah kerana seseorang itu perlu berpanas serta berhujan dengan memakai kostum bersesuaian untuk menghiburkan orang ramai.

Namun, Roslee Yusof, 53, tidak menjadikannya alasan untuk mencari rezeki halal.

Beliau yang lebih dikenali sebagai “Uncle Ting Tong” sanggup meninggalkan kerja bergaji tetap di taman tema untuk menjadi badut dan manusia patung hampir 20 tahun.

Selain minat, katanya, beliau memilih untuk menjadi badut sepenuh masa selepas semua 3 anaknya disahkan menghidap talasemia – penyakit genetik sel darah merah yang menghalang badan menghasilkan darah mencukupi.

Beliau tidak menganggap anaknya sebagai beban, sebaliknya menerima ujian Tuhan itu dengan berlapang dada.

Katanya, semua anaknya sentiasa berada di sisinya tidak kira di rumah mahupun ketika beliau mencari rezeki.

Malah, beliau bangga seorang daripada anaknya, Muhammad Nirwan yang lebih dikenali sebagai “Ping Pong” turut memilih untuk menjadi badut dan manusia patung.

“Bagi saya, nak kesal, nak sedih ada anak berpenyakit tidak boleh, kita kena tempuh, hadapi dengan tenang dan sesekali tidak boleh goyang, jiwa kena kental, sebab ini amanah Tuhan yang diberikan kepada saya dan isteri,” katanya kepada FMT di rumahnya di Damansara Perdana di sini.

Beliau membawa anaknya bersama ketika bekerja kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku kepada mereka.

“Kalau berlaku apa-apa, saya ada depan mata anak-anak.

“Bila sampai masa nak pergi hospital, kita pergi hospital, sebab itu saya tak boleh kerja tetap.

“Sama juga mereka pun tidak boleh nak kerja tetap kerana terpaksa ikut saya, kita berniaga dan menjadi penghibur jalanan,” katanya sambil menambah semua anaknya perlu ke hospital setiap bulan untuk pemindahan darah.

Katanya, beliau dan anaknya mencari rezeki di sekitar ibu kota dahulu, tetapi kini mereka berdua bekerja di Uptown Kota Damansara.

Selain Roslee dan Nirwan, 2 lagi anak perempuannya, Nurizwani dan Nurismawati berniaga roti canai kecil-kecilan di kawasan sama.

Roslee Yusof bersama seorang anaknya yang menjalankan perniagaan roti canai di Uptown Kota Damansara.

“Setiap hari 11 pagi saya akan kejutkan semua anak untuk keluar mencari bahan perniagaan dan berada di Uptown hingga lewat malam, kadang-kadang sampai 2 atau 3 pagi baru balik rumah.”

Bagaimanapun, Roslee tidak menjadi penghibur jalanan setiap hari kerana kadangkala anaknya jatuh sakit dan perlu menjaga mereka.

“Kadang-kadang kalau darah tidak ada di hospital, anak kena tunggu seminggu, jadi dalam tempoh seminggu, saya kena jaga mereka betul-betul.

“Kadang-kadang bila darah tidak ada, semua anak saya serentak akan jadi lemah, pening, tidak bermaya, otot akan sakit, malah boleh terkena serangan jantung.”

Katanya, lebih 50% pendapatan bulanan mereka digunakan untuk kos perubatan dan rawatan di Hospital Ampang.

“Maklumlah bila kerja tak ada pendapatan tetap, ada hari dapat banyak, ada hari dapat sikit, tapi cukup-cukup untuk belanja makan minum, kos rawatan, pengangkutan, kalau nak bermewah lebih-lebih tidak mampu.”

Tanpa berselindung, Roslee berkata, beliau pernah berhutang kerana tidak mampu membayar kos rawatan di hospital swasta sehingga terpaksa memohon bantuan kerajaan.

“Sekarang anak saya dirawat di Hospital Ampang, dulu dekat hospital swasta di Petaling Jaya banyak nak kena bayar sampai tidak mampu, duit tidak ada nak bayar, saya minta bantuan kerajaan melalui zakat, saya dapat dan semua duit itu saya selesaikan hutang hospital.

Roslee Yusof memakai kostum dan mengingatkan orang ramai untuk mematuhi SOP bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Sekarang bila sudah pindah ke Hospital Ampang kosnya murah sikit, jadi setakat ini masih mampu, kalau mahal memang tidak mampu nak bayar, kena berhutang.”

Kecekalan dan pengorbanan Roslee membesarkan anak menghidap talasemia turut dipuji jiran yang menyifatkannya bapa yang kental.

“Kadang-kadang orang kata hebat, kamu boleh jaga 3 anak yang ada penyakit sama,” katanya sambil memaklumkan beliau ialah pembawa terbary penyakit itu memandangkan keturunannya tiada penyakit itu.

”Pegawai perubatan hairan tiada keturunan, tapi apa boleh buat, kita terima dengan hati terbuka penyakit anak saya ini.”

Kediaman selesa

Roslee berhasrat menambah baik keadaan di dalam rumahnya supaya lebih selesa bagi mereka 5 sekeluarga, jika rezekinya bertambah.

“Anak makin besar, bilik ada 3. Sebuah bilik kami jadikan stor, satu untuk anak perempuan, satu lagi untuk saya dan isteri, anak lelaki tidur di luar.

“Selepas ini, kalau kami ada rezeki lebih, saya berhajat mencantikkan rumah. Saya beli rumah ini dengan hasil titik peluh sebagai badut dan manusia patung.”

Tidak kedekut ilmu

Bapa 3 anak itu bersyukur dengan rezeki dikurniakan Allah menyebabkannya terdetik mahu melatih “protege” secara percuma untuk berkongsi ilmunya.

Roslee Yusof bersama 3 anaknya yang menghidap talasemia.

Sehingga kini, beliau sudah melatih lebih 50 individu untuk menjadi badut dan 10 daripadanya mencapai tahap profesional.

“Saya ajar mereka yang ikhlas nak belajar tanpa sebarang bayaran, kalau mereka bersungguh nak belajar, saya ajar.

“Sebab nak jadi badut ini kena ikhlas, jiwa kena kuat dan tidak boleh beremosi,” katanya yang menjadikan sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun sebagai aktiviti wajib untuk turun ke jalanan tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Bila Hari Merdeka, saya akan turun ke Dataran Merdeka dan di sana saya akan menghiburkan pengunjung secara percuma.”

Bahaya Covid-19

Roslee berkata, sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), beliau menggunakan bakatnya sebagai badut dan manusia patung untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya Covid-19 dan pematuhan kepada SOP.

“Sepanjang PKP, semua orang tidak boleh keluar, saya juga tidak boleh ke jalanan mencari rezeki. Ketika itu dapat ilham untuk guna kelebihan sebagai badut dan manusia patung menasihat orang ramai mengenai bahaya Covid-19.

“Jadi, saya pakai kostum, buat poster nasihat bahaya Covid-19 dan ‘post’ di media sosial, ramai juga yang suka. Jadi, saya fikir itu saja cara saya boleh bantu orang ramai jaga jarak dan patuh SOP.”

Gelaran ‘Uncle Ting Tong’

Roslee berkata, gelaran “Uncle Ting Tong” itu diberikan sekumpulan remaja Cina ketika beliau mengadakan persembahan di Genting Highlands beberapa tahun lalu.

“Ada sekumpulan remaja Cina tanya apa gelaran badut saya, saya kata tidak ada. Mereka cakap kalau nak panggil ‘Uncle Ting Tong’ boleh tak, sebab saya masa buat persembahan lain daripada yang lain, tak sama dengan badut lain. Jadi, dari dari situ saya dapat nama ‘Uncle Ting Tong’.”

Katanya, pelbagai cabaran dihadapinya sepanjang menjadi penghibur jalanan, termasuk menjadi mangsa pukul sekumpulan remaja ketika membuat persembahan di ibu kota.

“Budak muda biasalah, darah muda mereka ejek saya, pukul saya, semasa buat persembahan. Mungkin mereka ingat badut ini manusia tidak waras dan sebagainya, malah ada juga hasil wang pendapatan saya dicuri.”