Biar betul, kambing ditahan di India disebabkan tidak pakai topeng

Apa salah kambing ditahan polis gara-gara tak pakai topeng!

Seekor kambing ternakan terpaksa ditahan polis Beconganj, Kanpur, India selepas berkeliaran di tempat awam dan “tidak memakai topeng”.

Insiden yang berlaku pada hujung minggu menyebabkan pihak polis daerah Beconganj terpaksa mengambil kambing perliharaan itu ke balai polis dengan menaiki jeep.

Sebaik sahaja pemilik kambing berkenaan menyedari kambingnya ditahan pihak polis, beliau segera ke balai untuk mendapatkan kambingnya semula.

Pemilik kambing merayu kepada pihak polis agar melepaskan kambingnya, dan diberi amaran agar tidak melepaskan haiwan berkenaan ke tempat awam.

Menurut seorang pegawai polis yang bertugas, pada mulanya pihak polis terjumpa seorang remaja tidak memakai topeng ditempat awam, bersama-sama kambing berkenaan.

Bagaimanapun, remaja itu berjaya melarikan diri dan meninggalkan kambing berkenaan, sebelum ia dibawa ke balai polis berdekatan.

“Ketika melihat polis, dia melarikan diri meninggalkan kambing itu sehingga anggota polis membawa kambing itu ke balai polis. Kemudian, kami menyerahkan kambing itu kepada pemiliknya,” kata pegawai polis kepada pemberita.

Salah seorang pegawai polis yang membawa kambing berkenaan ke balai mengakui mereka menemui kambing berkenaan melanggar perintah pemakaian topeng, meskipun remaja yang bersamanya berjaya melarikan diri.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]