Elak 2 perkara jika bantu lapah dan agih daging korban

Niat baik untuk membantu tapi mungkin ada yang terlupa minta izin empunya korban.

Niat kita mungkin ingin menambah pahala membantu melancarkan ibadah korban dengan menolong melapah, memotong atau mengagihkan daging korban tapi tanpa disangka berakhir mendapat dosa.

Jangan terkejut perkara ini boleh berlaku dan paling malang tanpa kita sedari.

Itulah perkongsian Dr. Asri Zainul Abidin atau DrMAZA.com tentang ibadah korban yang perlu kita fahami.

1. Ambil dulu bahagian yang disukai tanpa izin

Antara kesalahan yang sering berlaku semasa pengurusan korban ialah mencuri daging korban ataupun bahagian korban.

Ini berlaku apabila ada pihak yang mengambil daging korban atau bahagian dari binatang korban tanpa terlebih dahulu meminta izin dari empunya korban.

Biasanya hal ini dilakukan oleh penyembelih, pelapah dan mereka yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan.

Tanpa terlebih dahulu meminta izin dari individu yang melakukan ibadah korban itu, mereka mengambil bahagian korban yang mereka sukai.

Ini terutama bahagian-bahagian yang menarik untuk mereka.

Biasanya, mereka akan meletakkan bahagian itu berasingan untuk mereka ambil selesai urusan pelapahan haiwan korban korban.

Mereka menyembunyikan lebih awal ataupun tanpa malu mengambil secara terang-terangan.

Jika seekor lembu yang dibahagikan tujuh, maka ketika pembahagian tersebut bahagian-bahagian tertentu telah pun dicuri terlebih dahulu.

Walaupun mungkin tuan empunya tidak membuat bantahan, namun itu bukan bererti dia bersetuju memberikan.

Mungkin dia malas bergaduh ataupun tidak tahu.

Namun perbuatan mengambil daging korban tanpa terlebih dahulu diberikan oleh empunya, merupakan perbuatan yang haram.

2. Ambil daging korban atas dasar upah kerja

Kemudian mereka wajib tahu tidak boleh untuk mereka mengambil daging korban atas dasar upah kerja mereka.

Mereka hanya boleh menerima upah berbentuk wang atau apa sahaja selain bahagian korban yang mereka terlibat.

Bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dan pelapah dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah.

Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya.

Sebaliknya jika diandaikan jika tidak kerana kerja yang dilakukan maka sudah tentu dia tidak memperolehi bahagian tersebut, maka ini dianggap sebagai upah. Ia merosakkan korban.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]