Kajian dapati kanak-kanak bawah 5 tahun mungkin pembawa utama Covid-19

Sukarelawan mengedarkan topeng kepada kanak-kanak di Lalitpur, Nepal. (Gambar AP)

WASHINGTON: Satu kajian oleh jurnal pediatrik mendapati kanak-kanak 5 tahun ke bawah mempunyai tahap bahan genetik koronavirus 10 hingga 100 kali ganda dalam hidung mereka berbanding kanak-kanak lain atau orang dewasa.

Penulis jurnal bulanan Pediatrik Jama berkata, hasil kajian itu bermakna kanak-kanak kecil mungkin menjadi pembawa utama jangkitan Covid-19 dalam masyarakat – cadangan yang bertentangan naratif semasa.

Kajian itu menyusul kerajaan pimpinan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berusaha membuka semula sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak untuk memulihkan ekonomi.

Penyelidik melakukan ujian swab hidung ke atas 145 pesakit di Chicago dengan gejala ringan hingga sederhana dalam tempoh seminggu permulaan simptom antara 23 Mac hingga 27 April lalu.

Pesakit itu terbahagi kepada 3 kumpulan, iaitu 46 kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah, 51 kanak-kanak berusia 5 hingga 17 tahun dan 48 orang dewasa berusia 18 hingga 65 tahun.

Pasukan yang diketuai Dr Taylor Heald-Sargent dari Hospital Kanak-kanak Ann & Robert H Lurie mendapati jumlah virus SARS-CoV-2 “10 hingga 100 kali ganda” dalam saluran pernafasan atas kanak-kanak kecil itu.

Penulis berkata, kajian makmal baru-baru ini menunjukkan kehadiran lebih banyak bahan genetik virus akan menyebabkan pembiakan lebih banyak virus.

Sebelum ini, ia turut menunjukkan kanak-kanak dengan virus sinsitium pernafasan (RSV) yang banyak lebih cenderung menyebarkan penyakit itu.

“Oleh itu, kanak-kanak kecil berpotensi menjadi pembawa utama SARS-CoV-2 yang tersebar dalam masyarakat,” menurut penulis.

“Tabiat kanak-kanak kecil dan keadaan di sekolah serta pusat jagaan kanak-kanak menimbulkan kebimbangan terhadap amplifikasi SARS-CoV-2 dalam kalangan mereka ketika sekatan kesihatan awam dilonggarkan.”

Penemuan terbaru itu berlawanan pandangan pihak berkuasa kesihatan yang kanak-kanak kecil – sudah terbukti lebih rendah kemungkinannya untuk jatuh sakit daripada virus itu – tidak menyebarkannya kepada orang lain.

Bagaimanapun, tidak banyak penyelidikan mengenai topik itu setakat ini.

Satu kajian di Korea Selatan baru-baru ini mendapati kecenderungan kanak-kanak 10 hingga 19 tahun menyebarkan Covid-19 dalam keluarga sama dengan orang dewasa, tetapi kadarnya lebih rendah untuk kanak-kanak 9 tahun ke bawah.