MTUC mahu lelaki dirakam serang pengawal keselamatan ditahan

Tangkap layar serangan yang berlaku pada 7 Julai lalu.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa tindakan diambil terhadap seorang lelaki yang dirakam menyerang seorang pengawal keselamatan warga Nepal.

Klip video 1 minit yang tersebar menunjukkan lelaki itu berulang kali menampar, menumbuk dan memukul pengawal keselamatan itu dengan cota sambil memarahinya.

“Apa masalah lu. Lu main-mainkah? Lu mari sini kerja, bukan cari masalah.”

Menurut tarikh tertera dalam rakaman video itu, ia dirakam pada 7 Julai lalu.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon memberitahu FMT, penderaan sedemikian tidak boleh diterima.

“Ia adalah perhambaan. Polis perlu mengesan dan menahannya.”

Beliau turut menggesa pihak berkuasa bertindak segera, walaupun jika belum ada laporan polis diterima.

FMT sudah menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan komen.

Sementara itu, Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur berkata, ia tahu mengenai rakaman video itu dan sudah membuat laporan polis mengenainya.

Kedutaan itu mengalu-alukan sebarang maklumat tambahan kejadian itu melalui emel [email protected] atau talian 016-2472777.