Pemimpin Umno dakwa kuasa kini kembali kepada BN

PETALING JAYA: Dua pemimpin Umno mendakwa kuasa politik kini beralih kepada Barisan Nasional (BN), selepas Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Dua pemimpin yang enggan dinamakan itu berkata, ahli Parlimen PPBM kini perlu bergantung kepada BN untuk terus bertahan.

PN, pakatan longgar yang terdiri daripada PPBM, Umno dan PAS, dibentuk pada Februari lalu untuk menubuhkan kerajaan baru susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Sumber berkata, ia jelas daripada pengumuman Zahid mengenai Muafakat Nasional, kerjasama antara PAS dan Umno, menyokong PPBM hanya untuk mentadbir negara sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Muafakat Nasional tidak bersama PPBM secara politik, tetapi hanya untuk mentadbir negara.”

Di Dewan Rakyat, Barisan Nasional mempunyai 43 kerusi, PPBM (31), PH (91), PAS (18), GPS (18), PBS (1), Warisan (9), Upko (1) and PSB (2). Terdapat 7 ahli Parlimen bebas.

Sumber itu mendapati Zahid turut mendedahkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan partinya, PPBM, berminat menyertai Muafakat Nasional.

“Ia menunjukkan BN memberi masa kepada PPBM untuk menentukan tindakan seterusnya. Ia juga menunjukkan PPBM perlu ikut cakap kami, jika mahu menjadi sebahagian daripada kami.”

Seorang lagi sumber berkata, PN akan tumbang jika PPBM enggan menyertai Muafakat Nasional dan ini akan menyebabkan pilihan raya mengejut terpaksa diadakan.

Orang dalam PH memberitahu FMT yang Amanah dan DAP bersedia menyokong Muhyiddin, jika Muafakat Nasional menarik diri daripada PN.

“Dua parti ini sedia bekerjasama dengan Muhyiddin untuk mendapatkan kembali mandat yang diberikan rakyat kepada mereka pada PRU14.”

Katanya, PKR dengan 36 ahli Parlimennya perlu setuju bekerjasama dengan Muhyiddin atas syarat Mohamed Azmin Ali dan pengikutnya dari PKR dikecualikan.

Beliau berkata, tumpuan terletak pada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan 6 ahli Parlimen lain untuk melihat jika mereka akan bersama pembangkang.

“Semuanya akan bergantung kepada pengumuman PPBM sama ada ia akan menyertai Muafakat Nasional.”