Penjarakan sosial diganti penjarakan fizikal, kata KKM

Penjarakan sosial, iaitu amalan mengekalkan jarak 1m daripada orang lain antara SOP asas untuk membendung penularan Covid-19.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan istilah penjarakan sosial diganti dengan penjarakan fizikal.

Kementerian itu menerusi catatan di Twitter hari ini berkata, istilah baru itu lebih tepat.

Penjarakan sosial, antara SOP asas dan langkah keselamatan yang dilaksanakan KKM untuk membendung penularan Covid-19, ialah amalan mengekalkan jarak minimum 1m daripada orang lain ketika di tempat awam.

Amalan itu, bersama cuci tangan secara kerap, guna pensanitasi dan memakai topeng, menjadi kebiasaan sejak pertengahan Mac lalu apabila kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan untuk mengekang peningkatan kes Covid-19.

Malaysia kini dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan sehingga 31 Ogos ini, yang menyaksikan pembukaan semula sebahagian besar perniagaan dan sekolah secara berperingkat.

Setakat semalam, Malaysia merekodkan 124 kematian daripada 8,964 kes Covid-19.