Petugas kesihatan sembuh Covid-19 bimbang terus disisih masyarakat ketika Aidiladha

Hisyamuddin Musni tertanya-tanya jika keluarganya dalam senarai pengagihan daging korban semasa sambutan Aidiladha. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Hisyamuddin Musni serta ibunya menjangkakan Hari Raya Aidiladha tahun ini akan sepi dan suram kerana sejak pulang dari hospital selepas pulih daripada Covid-19 bulan lalu, mereka disisihkan jiran.

Hisyamuddin, yang lebih dikenali sebagai Syam dalam kalangan rakan dan keluarganya, ialah ahli fisioterapi di sebuah rumah kebajikan warga emas yang mengalami penularan virus itu pada Mei dan Jun lalu.

Pada pandangannya, sudah tentu masyarakat tidak akan memulaukan beliau dan keluarganya kerana bertugas semasa wabak serta jatuh sakit.

Ibunya berkata, pada mulanya memang tidak ketara, namun ia disusuli rungutan mengenai mereka dalam kalangan penduduk kampung.

Hisyamuddin turut menyedari orang ramai merungut dan menjauhinya. Ada yang mencemuh jika melihatnya di pasar raya, tetapi ada yang tidak menegurnya ketika berselisih di jalan sempit dalam kampung.

Kini, hampir sebulan selepas pulang dari hospital, keadaan lebih teruk hinggakan beliau tertanya-tanya sama ada keluarganya berada dalam senarai pengagihan daging korban semasa sambutan Aidiladha.

“Biasanya, kami dapat (daging) korban, tapi tahun ini tengoklah, kalau dapat ke tak, kalau sisih atau pulau?” katanya kepada Bernama.

Ketua Pengarah Institut Koperasi, Ariffin Mamat, boleh mengaitkan dirinya dengan pengalaman Hisyamuddin.

Walaupun beliau tidak disisihkan jirannya di Kuala Lumpur ketika beliau positif Covid-19 pada Mac lalu, namun berbeza bagi ibu mertuanya yang berkunjung ke Kuala Lumpur apabila keputusan ujian saringannya diperolehi.

“Bila balik Melaka, walaupun dia negatif dan uzur sebab sakit tua, jiran-jirannya masih tak melawat sebab takut kena Covid,” kata Ariffin.

Ketua kampung tempat tinggal Hisyamuddin, Norhizam Jani berkata pemulauan itu adalah reaksi lazim penduduk kampung seperti yang berlaku kepada sepupunya sendiri yang berkahwin dengan wanita mempunyai saudara dijangkiti Covid-19.

“Biasalah orang kampung, walaupun tak ada kaitan, ipar sendiri pun terkena. Kawan-kawan minum disisihkan. Meskipun tidak ada perhubungan rapat, malah mertua pesakit terjejas.”

Bekas presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Milton Lum berkata, stigmatisasi dan pemulauan yang berpunca daripada penyakit berjangkit adalah lumrah dan tidak selalu terbatas kepada masyarakat kecil atau luar bandar.

“Dalam perawatan kesihatan, selalu ada kecenderungan untuk menstigmatisasi pesakit, sama ada ia keluarga atau rakan pesakit, dan dalam beberapa keadaan, oleh profesional perawatan kesihatan.

“Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa hanya kerana ada kekurangan pengetahuan mengenai keadaan ini.”

Meskipun Hisyamuddin ialah pekerja penjagaan kesihatan, tidak bermaksud beliau akan terkecuali daripada stigma disebabkan penyakit yang kadangkala membawa maut, demikian menurut pakar psikologi dan kaunselor Universiti Utara Malaysia, Dr Azniza Ishak.

Ini berlaku walaupun terdapat semua pesanan yang dikeluarkan kerajaan dan pelbagai kumpulan mengucapkan terima kasih kepada pekerja kesihatan atas pengorbanan mereka.

Persepsi berbeza

Azniza berkata, orang akan menjadi lebih marah jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan kembali kerana semasa PKP sebelum ini, ramai rakyat dilaporkan tertekan dan cemas.

“Sekiranya ada yang bertentangan rutin mereka dan mereka harus mengulangi sesuatu yang ingin mereka hindari, mereka akan marah dan mencari seseorang untuk disalahkan,” katanya sambil menambah akal manusia akan mencari sasaran mudah untuk dipersalahkan, walaupun alasannya tidak rasional.

Lum sependapat dengan Azniza kerana lain orang, persepsinya berbeza terhadap kesihatan dan penyakit.

“Ini disebabkan latar belakang agama, budaya dan pendidikan mereka yang berbeza. Sebilangan orang memandang penyakit berjangkit tertentu sebagai hukuman atas kesalahan yang anda lakukan.”

Bagi menghindari ketakutan dan salah faham yang menyebabkan stigma, ramai menggesa lebih banyak pesanan memfokuskan sokongan kesihatan mental untuk pesakit dan pendidikan buat masyarakat, serta kumpulan sokongan bagi pesakit, mangsa dan keluarga mereka.

Kumpulan sokongan

Antaranya, kumpulan sokongan peribadi untuk pesakit Covid-19 semasa, bekas pesakit dan keluarga mereka di Facebook yang dikenali sebagai “Safe Space Covid-19 Malaysia”.

Diwujudkan pada 31 Mac lalu, kumpulan ini berharap “dapat mempertikaikan stigma terhadap pesakit Covid-19”. Ahli dikehendaki mempunyai akaun Facebook untuk mengakses perkhidmatan dan bahannya.

Mercy Malaysia juga mempunyai beberapa program sokongan psikologi dan emosi di Facebook dan melalui talian bantuan di 03-29359935, walaupun perkhidmatan ini bukan hanya untuk mereka yang menghidap penyakit secara langsung.

Bagi mereka yang tidak mempunyai akses dalam talian, terdapat buku seperti yang diterbitkan Ariffin. Beliau memberitahu Bernama, ia adalah koleksi tulisannya ketika mengumumkan dirinya disahkan positif Covid-19.

“Saya tampil ke hadapan umum (diri dijangkiti virus itu) untuk memecahkan stigma,” katanya sambil menambah beliau memasukkan maklumat dan nasihat relevan mengenai cara mencegah serta menangani Covid-19 .

Norhizam pula menasihatkan Hisyamuddin dan keluarganya bersabar kerana penduduk kampung akan segera menyesuaikan diri selepas tahu lebih lanjut mengenai penyakit itu.

Beliau berkata, Hisyamuddin tidak perlu bimbang menerima bahagian daging korbannya.

“Semua akan mendapat bahagiannya. Kita tidak terlalu melampau sehingga mengabaikan keluarga Covid-19,” katanya.