Polis minta mangsa, orang ramai bantu siasatan kes pukul pegawal Nepal

PETALING JAYA: Polis meminta mangsa dan orang ramai membantu siasatan ke atas kejadian kes pukul pegawal keselamatan warga Nepal yang tular di media sosial.

Ketua Polis Wangsa Maju Rajab Ahad Ismail berkata polis sedang menyiasat punca dan sebab kejadian itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata atau benda merbahaya.

“Sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima dari mangsa berkenaan kejadian,” kata Rajab dalam kenyataan hari ini.

Video 44 saat itu memaparkan seorang lelaki menampar dan memukul seorang lelaki berpakaian seragam pegawal keselamatan dengan sebatang kayu. Rakaman itu bertarikh 7 Julai tahun ini.

Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku di tempat letak kenderaan di sebuah bangunan kondominium yang terletak di Jalan Madrasah, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Kejadian dipercayai melibatkan saspek warga Pakistan dan mangsa warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di bangunan tersebut,” katanya.

Menyeru pihak terlibat supaya segera tampil membantu siasatan, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta menyalurkannya kepada polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.