Suhakam seru kerajaan segera keluar laporan RCI Wang Kelian

Kem yang dipercayai menempatkan pendatang asing yang dijumpai di Bukit Wang Burma, Wan Kelian, Perlis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia menyeru kerajan segera mengeluarkan laporan suruhanjaya siasatan diraja mengenai tragedi Wang Kelian, yang melibatkan sindiket pemerdagangan manusia dan pelanggaran undang-undang oleh pihak berkuasa.

Tegasnya, keadilan perlu diberikan kepada mereka yang terkorban, “tanpa mengira siapa pun mereka”.

“Apa yang lebih penting pengajaran dan tindakan Malaysia dalam menghalang kejadian sebegini berulang lagi pada masa hadapan, yang sehingga kini masih tidak kelihatan,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan bersempena Hari Menentang Pemerdagangan Manusia Sedunia itu mengingatkan kewujudan pemerdagangan manusia masih berterusan dalam dan melangkaui sempadan negara.

Perdagangan itu mengaut keuntungan daripada manusia yang rentan dan terdesak, terpedaya dan dikelirukan, diikuti dengan kekerasan dan keganasan, dan semakin berleluasa.

“Mereka yang diperdagangkan mempunyai risiko yang tinggi dieksploitasi secara seksual, dipaksa berkahwin, terlibat dengan atau mengalami jenayah kejam,” katanya.

Suhakam berkata Malaysia mempunyai Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang spesifik bagi menangani pemerdagangan manusia, namun kerajaan digesa menumpukan kepada 3 perkara penting.

Suhakam menggesa kerajaan mengenalpasti kelemahan prasarana penguatkuasaan sempadan bagi menghalang pedagang manusia, meningkatkan usaha untuk mendakwa dan menghukum pedagang manusia dan mereka yang terlibat, dan menyediakan segala bentuk keperluan termasuk bantuan guaman, kemanusiaan dan akses kepada mangsa.

Apabila selesainya RCI Wang Kelian pada 18 Jun 2019 selepas 17 sesi pendengaran melibatkan 48 saksi, Pengerusi Arifin Zakaria berkata laporan siasatan dan syor akan diserah kepada Agong pada September.

Beliau berkata terserah kepada kerajaan untuk mendedahkan laporan itu kepada orang awam.

RCI dilancarkan beberapa tahun selepas penemuan dan laporan mengenai kubur dan kem yang menempatkan mangsa pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, berdekatan sempadan Malaysia-Thailand.

Lebih 100 rangka manusia ditemui di kawasan itu, dipercayai etnik Rohingya.