Umno pilih calon PRK Slim Ahad ini

Annuar Musa berkata, BN bersama Muafakat Nasional dan PPBM bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama yang dinamakan Muafakat Nasional Plus susulan PRK Slim.

KUALA LUMPUR: Umno akan memutuskan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Ahad ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa berkata BN Perak mengemukakan senarai calon PRK itu kepada ibu pejabat Umno 3 hari lalu.

“Presiden Umno akan mengumumkan nama calon 3 hari sebelum hari penamaan calon pada 15 Ogos ini,” katanya selepas menyertai solat sunat Aidiladha dan ibadah korban di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, di Kampung Sungai Penchala, Damansara hari ini.

Sebelum ini, PPBM Perak mengesahkan ia akan memberi laluan dan sokongan penuh kepada Umno untuk bertanding pada PRK itu.

Susulan PRK Slim, Annuar berkata, BN bersama Muafakat Nasional dan PPBM bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama yang dinamakan Muafakat Nasional Plus.

“Alhamdulillah semuanya baik dan Perikatan Nasional (PN) serta BN mempunyai jentera berpengalaman dan tidak berdepan masalah.

“Cuma perlukan pemantauan sebab itu kita bersetuju membentuk satu jawatankuasa bersama Muafakat Nasional Plus dengan dianggotai PPBM, PAS dan parti lain buat pertama kali atas semangat PN.”

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandang Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh pengundian, manakala 15 Ogos bagi penamaan calon dan 25 Ogos tarikh pengundian awal.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Khusairi yang mewakili BN mempertahankan kerusi Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.