Umno Sabah ada autonomi tentukan calon pilihan raya

Annuar Musa.

KUALA LUMPUR: Umno Sabah diberi kuasa autonomi sepenuhnya dalam membuat persiapan dan menentukan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ahli majlis tertinggi Umno Annuar Musa berkata sejurus selepas pengumuman dan pengesahan rasmi Istana Negeri berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan membuat persiapan awal serta-merta.

Di peringkat BN, kata beliau, Pengerusi Zahid Hamidi merangkap presiden Umno dan ahli jawatankuasa pilihan raya parti akan bermesyuarat Ahad ini.

“Mengikut kita punya kaedah, ia akan ditentukan oleh Umno Sabah. Tetapi oleh kerana ini merupakan PRN yang melibatkan semua kawasan DUN, Umno Sabah juga perlu berbincang dengan rakan komponen BN, Muafakat Nasional (MN), termasuk PPBM dan juga parti mesra BN,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan PRN yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Situasi politik di Sabah yang panas sejak kebelakangan ini memuncak apabila bekas ketua menteri Musa Aman mendakwa memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.