9 kes baru Covid-19, 3 pesakit sembuh

PUTRAJAYA: Sebanyak 9 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini berbanding 12 dicatatkan semalam, manakala 3 pesakit disahkan sembuh.

Tidak ada pertambahan angka kematian akibat wabak itu hari ini, menjadikannya kekal sebanyak 125 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, 2 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 1 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini Malaysia merekodkan 8,985 kes Covid-19 dengan 8,647 daripadanya disahkan sembuh.

213 pesakit kini dirawat di hospital seluruh negara.

Noor Hisham juga berkata, daripada 9 kes baru hari ini, 7 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan 5 warganegara Malaysia dan 2 bukan warganegara.

“7 kes tersebut adalah dari India (2 kes di Selangor), UAE (1 kes di Selangor), Jepun (1 kes di Selangor), Filipina (1 kes di Perak) dan Pakistan (1 kes di Perak).

Manakala itu katanya, daripada 2 kes penularan dalam negara, 1 kes membabitkan warganegara Malaysia di Kedah, terdiri daripada kluster PUI Sivagangga dan 1 kes lagi membabitkan bukan warganegara di Selangor yang terdiri daripada kluster Bukit Tiram.

Menurut Noor Hisham, kes yang berlaku di Selangor membabitkan bukan warganegara bagi penularan tempatan merupakan kes pertama di luar negeri Johor, yang diklasifikasikan sebagai kluster Bukit Tiram.

“Sehingga 1 Ogos, jam 12 tengah hari sebanyak 135 orang sudah disaring. Daripada jumlah ini, 10 kes dikesan positif Covid-19, 124 negatif dan 1 masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, daripada 10 individu disahkan positif Covid-19 ini, 4 adalah bukan warganegara dan kes dilaporkan pada hari ini merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8,893 di Johor.

“Melalui siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif yang dijalankan Jabatan Kesihatan Daerah, kes positif ke-8893 didapati menginap di rumah kes ke-8977 pada 16 Julai sehingga 19 Julai di Selangor.

“Beliau sudah dikenal pasti dan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

“Ujian saringan kali kedua dijalankan apabila kes ke-8977 mengalami gejala batuk dan sakit tekak. Beliau dikesan positif dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh,” katanya.