Abang Johari: Pelan induk 5 tahun bangun Kuching sebagai bandar raya pintar

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg menyempurnakan sambutan ulang tahun ke-32 Bandaraya Kuching dan perasmian New Norms Park di pekarangan Bangunan MBKS di sini, hari ini. (Gambar Bernama)

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak mempunyai pelan induk pembangunan 5 tahun bagi mentransformasi kawasan bandar raya itu yang sudah usang, kata Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, pelan ini sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Kuching bandar raya metropolis dan pintar dengan mengenal pasti kawasan komersial yang perlu dibangunkan semula di kawasan seliaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Pembangunan semula ini akan dilaksanakan oleh majlis berkuasa tempatan (MBKS dan DBKU) dan swasta dengan mengambil kira kriteria kemudahan lebih moden dan sesuai untuk bandar raya pintar,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sambutan ulang tahun ke-32 Bandaraya Kuching dan perasmian New Norms Park di pekarangan Bangunan MBKS di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara kawasan terlibat ialah Padungan dalam kawasan MBKS, sebahagian kawasan Jalan Haji Taha dan Jalan P Ramlee dalam kawasan DBKU.

Antara kemudahan yang akan dibangunkan di kawasan itu, termasuklah pusat komersial dan kemudahan pengangkutan awam seperti transit airan autonomi (ART).

“Pembangunan semula ini tidak akan menjejaskan bangunan-bangunan bersejarah yang sedia ada, sebaliknya kesan sejarah dan unsur budaya masyarakat pelbagai kaum di Bandaraya Kuching dan negeri ini akan terus dipelihara,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkat,a banyak perubahan berlaku di Bandaraya Kuching dalam tempoh 32 tahun dengan pembangunan pesat dalam sektor perumahan, komersial, tempat rekreasi, kemudahan pengangkutan awam dan utiliti yang lain.

Katanya, semua kemudahan berkenaan penting untuk membolehkan rakyat berinteraksi dan seterusnya mewujudkan suasana perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang menjadi kebangsaan di Sarawak, selain mendapat pujian pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

Tambahnya, Sarawak juga berjaya berada di hadapan, khusus dalam pembangunan aplikasi digital dan menjadi rujukan kepada negeri lain.

“Pembangunan sesebuah bandar raya juga tidak dapat mengelak daripada transformasi digital, terutama ke arah kita membina sebuah bandar raya pintar,” katanya.