Azmin: Jangan terlalu banyak ‘main politik’, fokus rakyat, ekonomi

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan menyertai PN tidak menjejaskan kerajaan semasa.

KUALA PILAH: Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali hari ini menasihati pihak yang berkenaan agar tidak terlalu banyak “bermain politik” kerana fokus kerajaan ialah kesihatan rakyat dan ekonomi negara.

Katanya pihak berkaitan juga harus mencontohi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang tidak begitu banyak berbicara mengenai politik memandangkan keutamaan beliau ialah untuk selamatkan ekonomi negara dan kesihatan rakyat.

“Kita hari ini meletakkan isu kesihatan rakyat dan isu ekonomi sebagai fokus … jangan main politik banyak sangat sebab rakyat perlu pembelaan dan ini juga fokus perdana menteri.

“Beliau jarang sebut tentang politik kerana mandat yang diberikan kepadanya ialah untuk selamatkan ekonomi negara dan selamatkan rakyat daripada diserang wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas program Korban Perdana Penggerak Komuniti Negara di sini, hari ini.

Pada masa sama, Azmin juga menegaskan kenyataan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) tidak menjejaskan kerajaan semasa.

Ini kerana katanya Umno kekal mendukung kepimpinan Muhyiddin untuk terus menerajui kerajaan persekutuan di bawah PN.

PN merupakan kerjasama politik melibatkan PPBM, Umno, PAS serta parti komponen Barisan Nasional, selain disokong oleh Gabungan Parti Sarawak.

Mengulas kenyataan pengerusi Umno Selangor Noh Omar bahawa Muafakat Nasional Selangor telah menyelesaikan 90% agihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, Azmin berkata isu tersebut belum dibincangkan bersama PN.

“Saya telah dimaklumkan perkara ini, tetapi perbincangan ini dibuat pada tahun lepas sebelum ada PN, tidak mengapalah, sebelum ada PN mereka bincang dengan MN (Muafakat Nasional).

“Itu benda yang logik, sekarang sudah ada PN kita kena bincang secara bersama, belum ada pilihan raya, tak bincanglah, pilihan raya lambat lagi,” katanya.

Ditanya mengenai surat tuntutan RM10 juta daripada PKR, bekas timbalan presiden parti itu berkata, beliau tidak akan melayani tuntutan berkenaan.

“Untuk apa? Kenapa saya perlu bayar mereka (PKR) RM10 juta? Jika saya ada duit sekali pun, saya akan serah (wang itu) kepada rakyat, saya tidak akan serahkan kepada parti yang sudah rosak seperti PKR,” kata Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak.

Sebelum ini, dilaporkan bendahari agung PKR Lee Chean Chung berkata, parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada 19 ahli Parlimen dan Adun PKR yang keluar parti, menuntut mereka membayar RM10 juta masing-masing kepada parti itu.