Bung tolak dakwaan Musa tidak disenarai sebagai calon PRN

Pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar Radin berkata, kenyataan palsu itu sengaja dicipta untuk melaga-lagakan beliau dengan Musa dan merosakkan Umno.

KOTA KINABALU: Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin menafikan membuat kenyataan bahawa bekas ketua menteri Musa Aman tiada dalam senarai calon Umno bagi pilihan rya negeri (PRN) Sabah seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita tempatan.

Mengakui ada memberi kenyataan kepada portal berita berkenaan, Bung Moktar berkata, beliau langsung tidak menyentuh mengenai senarai calon atau Musa.

“Itu berita palsu. Kenyataan itu bukan daripada saya, saya tidak pernah membuat kenyataan yang tidak berhala tuju. Itu kenyataan palsu yang sengaja dicipta untuk melaga-lagakan saya dengan Musa dan merosakkan Umno.

“(Ini) Perbuatan musuh Umno yang tidak bertanggungjawab yang ingin melemahkan Umno daripada pelbagai cara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Antara lain, laporan portal berita itu menyebut Bung Moktar sebagai berkata: “Satu-satunya jalan penyelesaian kemelut politik dalam Umno adalah menyingkirkan Musa Aman daripada senarai calon Umno pada PRN Sabah.”

Laporan portal berita itu turut menyebut Umno tidak mempunyai kaitan dengan kemelut politik Sabah kerana Musa bertindak atas kehendaknya sendiri untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Bung Moktar juga menafikan kenyataan yang memetiknya sebagai berkata, bahawa kerajaan persekutuan boleh merancang pembangunan di Sabah dan tugas tersebut akan dilakukan oleh agensi persekutuan sekiranya Umno berjaya menawan kembali negeri itu.

“Itu berita palsu, saya tidak pernah cakap. Apa yang saya perjelaskan ialah antara tawaran baru kami (Umno Sabah) ialah projek pembangunan di Sabah akan dilaksanakan oleh negeri Sabah. (Kenyataan) diputar belit,” katanya.

Sabah bakal menghadapi PRN selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa dibubarkan.

Pembubaran DUN itu diumumkan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal pada Khamis lalu, beberapa jam selepas Musa mendakwa blok pembangkang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Musa merupakan Adun Sibunga, satu-satunya kerusi DUN Sabah yang dikuasai oleh Umno..