Gagal pakai pelitup muka, 26 dikompaun di Johor

Keputusan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam bermula hari ini diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada 23 Julai lepas.

JOHOR BAHRU: 26 kompaun dikeluarkan terhadap orang awam di Kota Tinggi kerana gagal memakai pelitup muka yang diwajibkan oleh kerajaan bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora berkata, kompaun itu dikeluarkan susulan operasi dijalankan di pantai awam Batu Layar, Bayu Damai dekat sini.

“Kesemua mereka didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol yang ditetapkan bagi mencegah penularan pendemik Covid-19.

“Mereka dimaklumkan mengenai kesalahan itu dan kompaun bernilai RM1,000 dikenakan mengikut Perkara 10, Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB)(No 7) 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hussin, polis memberi amaran keras, malah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar SOP berkenaan.

Pemakaian pelitup separuh muka adalah diwajibkan di tempat awam bermula 1 Ogos berikutan kerajaan menyedari terdapat trend peningkatan jangkitan kes Covid-19 dalam kalangan rakyat, selain berkurangnya pematuhan orang awam terhadap SOP ditetapkan.

Keputusan mewajibkan pemakaian pelitup muka itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada 23 Julai lepas.