Lebih 1,500 jangkitan baru Covid-19 di Indonesia, 62 kematian

Sebanyak 57,816 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19 di Indonesia setakat hari ini. (Gambar AP)

JAKARTA: Kes positif Covid-19 di Indonesia kini berjumlah 109,936 kes setelah 1,560 kes baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 iaitu di www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 57,816 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 62 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di republik itu kini meningkat kepada 5,193 orang.

Dalam tempoh 24 jam itu, provinsi Jakarta mencatatkan kes positif baru tertinggi iaitu 368 kes, diikuti Jawa Timur (235), Jawa Tengah (143) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

Bagi tempoh berkenaan juga, 21 lagi kematian berlaku di Jawa Timur, manakala di Jawa Barat sebanyak 13 kematian, Jakarta (12 kematian) dan selebihnya di wilayah lain.