Mexico dijangka atasi UK dengan jumlah kematian Covid-19 ke-3 tinggi

Kakitangan memakai peralatan perlindungan diri menyembur cecair nyahkuman di keranda seorang pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Tanah Perkuburan Xilotepec di Xochimilco, Mexico City, Isnin lalu. (Gambar AP)

MEXICO CITY: Mexico dijangka mengatasi Britain yang menjadi negara dengan jumlah kematian Covid-19 ke-3 tertinggi ketika pandemik mencapai tahap baru di Amerika Latin dan berisiko mengganggu usaha pembukaan semula ekonominya.

Rekod itu meletakkan Mexico di belakang Brazil, negara terbesar dan paling ramai penduduk di Amerika Latin, serta Amerika Syarikat.

Lebih 91,000 pesakit Covid-19 meninggal dunia di Brazil dan angka korban di AS sudah melepasi 152,000 kes.

Khamis lalu, Mexico mencatatkan 639 kematian yang menjadikan keseluruhannya 46,000 kematian daripada 416,179 kes Covid-19.

UK pula mencatatkan 46,084 kematian daripada 303,913 kes positif, menurut statistik Universiti Johns Hopkins.

Pegawai Mexico berkata, pandemik itu mungkin jauh lebih teruk daripada apa yang ditunjukkan statistik rasmi.

Jumlah kematian itu menjadikan Amerika Latin sebagai salah satu pusat penularan virus itu dengan kes di rantau itu meningkat sekali ganda sejak sebulan lalu kepada lebih 4.7 juta kes Covid-19.

Colombia, di mana sekatan pergerakan akan dilaksanakan sehingga akhir bulan ini, mencecah 10,105 kematian pada Jumaat dan jumlah kes positif Covid-19 dijangka mencapai 300,000 kes hujung minggu ini.

Pandemik itu menunjukkan beberapa petanda perlahan di Mexico yang cuba memulakan semula ekonomi sejak akhir Mei lalu.

Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador, yang membangkitkan kemarahan sesetengah pejuang kesihatan kerana enggan memakai topeng di tempat awam, pada Jumaat berkata negara itu bercadang meneruskan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Zocalo di ibu negara itu.

Katanya, sambutan untuk pemberontakan bersejarah dikenali sebagai “El Grito” pada 16 Sept itu akan diadakan dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Datuk Bandar Mexico, Claudia Sheinbuam pada Jumaat berkata, ibu negara itu akan kekal di tahap “jingga”, fasa amaran ke-2 tertinggi untuk pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosial, selepas amaran pada minggu lalu berhubung kemungkinan lonjakan kes menjelang Oktober ini.