Pemuda PKR akur PH tak tanding PRK Slim

Pemuda PKR menggesa pihak berkuasa berkaitan memperkenalkan SOP lebih ketat pada PRK Slim bagi membendung penularan Covid-19.

PETALING JAYA: Pemuda PKR akur dengan keputusan Pakatan Harapan tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil Slim akhir bulan ini.

Setiausaha sayap itu, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, keselamatan rakyat perlu diutamakan kerana penularan Covid-19 belum reda dan aktiviti membabitkan orang ramai perlu dielakkan untuk meminimumkan risikonya.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa terbabit memperkenalkan SOP lebih ketat.

“Pastikan SOP terbaik semasa proses pengundian dijalankan,” katanya kepada FMT.

Semalam, PH mengumumkan ia bersetuju memberi ruang kepada kumpulan bekas pemimpin PPBM yang diketuai Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada PRK Slim pada 29 Ogos ini.

Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Presiden gabungan berkenaan.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandang Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 15 Ogos bagi penamaan calon, 25 Ogos untuk pengundian awal dan 29 Ogos sebagai tarikh mengundi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Khusairi yang mewakili BN mempertahankan kerusi Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.