Penganalisis jangka Shafie, Musa guna naratif mangsa raih simpati pengundi

Lee Kuok Tiung berkata, walaupun saingan tertumpu kepada kem Musa Aman dan Shafie Apdal, kehadiran parti tempatan lain, terutamanya Parti Cinta Sabah di bawah pimpinan Anifah Aman tidak boleh dipandang ringan.

KOTA KINABALU: Seorang penganalisis politik menjangkakan Shafie Apdal dan Musa Aman akan menggunakan naratif mangsa untuk meraih simpati pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) di Sabah nanti.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, saingan sengit antara kem ketua menteri Sabah dan bekas ketua menteri itu akan berulang seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Shafie akan menuduh lawannya cuba membeli Adun beliau, manakala Musa pula dijangka mendakwa dinafikan peluang untuk mengambil alih kerajaan selepas mempunyai akuan bersumpah yang menunjukkan beliau memiliki majoriti seperti Shafie pada 12 Mei 2018.

“Bagaimanapun, rakyat di Sabah mengikuti perkembangan politik semasa dan mengetahui hal sebenar, ini semua diambil kira dan dipertimbangkan oleh mereka untuk menentukan siapa yang akan diundi.

“Dari segi manifesto pula, ianya pasti akan memberi kelebihan kepada parti atau gabungan yang memihak kepada kerajaan persekutuan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Shafie mengumumkan PRN akan diadakan selepas Yang di-Pertua Sabah, Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri mengikut Fasal (2) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sabah.

Bagaimanapun, bekas ketua menteri, Musa Aman dalam sidang media semalam mendakwa pembubaran DUN tidak wajar dan beliau sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya dilaporkan berkata, ia akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan PRN di Sabah, selepas menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN kelmarin.

Penganalisis politik dari UMS, Lee Kuok Tiung

Lee berkata, walaupun saingan tertumpu kepada kem Musa dan Shafie, kehadiran parti tempatan lain, terutamanya Parti Cinta Sabah (PCS) di bawah pimpinan bekas menteri luar, Anifah Aman yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu pada 26 Julai lalu, tidak boleh dipandang ringan.

”Begitu juga calon-calon bebas yang mempunyai pengaruh besar yang mungkin boleh menggugat kredibiliti calon Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).”

Mengenai peluang Musa dalam PRN, katanya, bekas ketua menteri paling lama berkuasa itu masih mempunyai pengaruh besar, walaupun beliau sekadar ahli Umno yang tidak memegang sebarang jawatan dalam parti tertua negara itu.

”Saya juga menjangkakan Musa dengan pihak yang menyokongnya akan mencapai kompromi untuk memutuskan logo apa yang akan digunakan pada PRN nanti.”

Lee turut menjangkakan PRN di Sabah lebih meriah dengan kehadiran pemimpin atau rakan seperjuangan parti bertanding dari Semenanjung dan Sarawak.