PPBM Sabah mahu tanding 45 kerusi DUN, kata Hajiji

Pengerusi PPBM Sabah Hajiji Noor berkata, walaupun 45 kawasan DUN telah dikenal pasti untuk ditandingi, parti itu bersedia berbincang dengan parti dalam komponen PN dan BN.

KOTA KINABALU: PPBM Sabah hari ini mengumumkan telah mengenal pasti 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi mereka pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya Hajiji Noor berkata, pihaknya akan mengemukakan calon berwibawa, mempunyai kredibiliti serta mampu menang kerusi yang akan ditandingi mereka.

Bagaimanapun katanya, PPBM sedia berbincang dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN), Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN nanti.

“PPBM Sabah telah bersiap sedia untuk mengadapi PRN dan mesyuarat juga akan diadakan minggu depan bagi memperhalusi persiapan jentera parti di setiap kawasan DUN.

“Kita sudah bersiap sedia dan telah mengenal pasti 45 kawasan DUN yang akan ditandingi oleh calon PPBM.

“Kita akan mengemukakan calon berwibawa, mempunyai kredibiliti, keupayaan dan boleh menang bagi memastikan kerusi yang akan ditandingi menjadi milik PPBM”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hajiji berkata, walaupun 45 kawasan DUN telah dikenal pasti untuk ditandingi, parti itu bersedia berbincang dengan parti dalam komponen PN dan BN.

“Ini demi mengumpul kekuatan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

“PPBM Sabah juga akan menawarkan manifesto dan hala tuju terbaik untuk rakyat Sabah yang memfokus kepada membangun semula ekonomi negeri selepas krisis dan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau yang juga Adun Sulaman berkata, PPBM akan melancarkan manifesto mereka sebelum tarikh penamaan calon nanti.

“Menerusi manifesto yang akan dilancarkan, kita akan menawarkan yang terbaik untuk rakyat dan negeri Sabah jika diberi peluang membentuk kerajaan negeri.

“Kita yakin, PPBM akan menjadi alternatif terbaik dan diterima oleh sebilangan besar rakyat untuk menerajui negeri Sabah”, katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah Rohiman Rahia berkata, 73 kerusi DUN akan dipertandingkan dalam PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pada pilihan raya umum ke-14, 60 kerusi DUN dipertandingkan, namun pada Julai tahun lepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah, menjadikan kedudukan semasa 73 kerusi .

PRN Sabah bakal diadakan selepas DUN semasa dibubarkan Khamis lepas.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal beberapa jam selepas bekas ketua menteri Musa Aman mendakwa blok pembangkang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Umno tentukan kerusi, calon esok

Dalam pada itu, Umno Sabah akan menentukan jumlah kerusi DUN yang bakal ditandinginya pada PRN akan datang dalam mesyuarat parti esok, kata pengerusinya Bung Moktar Radin.

Beliau berkata mesyuarat itu juga akan menentukan hala tuju Umno dan BN Sabah dalam usaha memenangi kesemua kerusi yang ditandingi pada pilihan raya tersebut.

“Pada saya, bukan soal untuk bertanding semua kerusi (DUN) tetapi soalnya berapa yang boleh kita (Umno Sabah) menang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, Bung Moktar berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai nama calon namun belum menentukan kerusi mana yang bakal diwakili mereka pada PRN itu.

Katanya Umno Sabah akan mengumumkan nama calon yang terpilih bertanding pada pilihan raya itu lebih awal selepas diputuskan dan dimuktamadkan.

Mengulas autonomi yang diberikan kepada Umno Sabah dalam membuat persiapan dan menentukan calon bagi PRN, Bung Moktar berkata, ia adalah pendekatan terbaik untuk rakyat kerana parti itu diterajui pemimpin tempatan, sekali gus menolak dakwaan Umno hanyalah sebuah parti dari semenanjung.

Beliau berkata, autonomi itu juga memberi peluang kepada pemimpin Umno Sabah menentukan hala tuju parti di negeri itu, bukan hanya dalam soal menentukan calon dan kerusi yang ditandingi, malah dalam mengemukakan tawaran baru untuk rakyat di negeri itu.

Menyentuh isu pertambahan kerusi DUN Sabah daripada 60 kepada 73, ahli Parlimen Kinabatangan itu berpendapat sudah tiba masanya ia dilaksanakan memandangkan geografi negeri tersebut yang besar dan luas, selain sebagai usaha memberi perkhidmatan seimbang kepada rakyat.

Bung Moktar turut mengesahkan beliau akan bertanding di Lamag, iaitu antara DUN baru yang diwujudkan di Parlimen Kinabatangan.

Pada masa ini, Kinabatangan mempunyai 2 DUN, iaitu Sukau dan Kuamut.

Ketika ini, Umno Sabah memiliki 1 daripada 17 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU14 selepas 16 Adunnya meninggalkan parti itu dan menyertai parti gabungan kerajaan Warisan dan PPBM.

Kerusi tunggal Umno disandang Musa Aman yang mewakili DUN Sungai Sibuga.