Sidang media ahli Parlimen Batu dihalang kerana tiada permit

Sidang media ahli Parlimen Batu P Prabakaran di Johor dihalang oleh polis bantuan.

PETALING JAYA: Kekecohan kecil tercetus pada sidang media ahli Parlimen Batu P Prabakaran di Johor baru hari ini apabila beliau dihalang dan diingatkan oleh pihak berkuasa kerana mengadakan sesi itu tanpa permit.

Bernama melaporkan, kejadian itu berlaku 10 minit selepas sidang bermula apabila seorang anggota polis bantuan mengarahkan Prabakaran menghentikan sesi itu selepas didapati beliau tidak mempunyai permit daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sidang media tersebut adalah berkaitan pekerja Malaysia di Singapura yang ditahan di bangunan JB Sentral yang menampatkan komplek Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Iskandar.

Bangunan itu terletak di bawah kawalan KDN dan semua acara di situ perlu mendapat permit.

Prabakaran memilih untuk meneruskan sidang medianya dan memberitahu bahawa peguam beliau akan menangani isu tersebut dengan polis bantuan di situ.

Kekecohan reda selepas itu apabila pihak berkuasa akhirnya membenarkan sesi tersebut diteruskan dengan syarat semua yang hadir mematuhi protokol Covid-19.

Prabakaran menggesa kerajaan menanggung sepenuhnya kos kuarantin rakyat Malaysia yang balik dari Singapura yang menyaksikan ramai dalam kalangan mereka tidak mampu membayarnya.

“Terdapat individu yang tiada pekerjaan selama 2 bulan. Jadi apabila ditetapkan syarat mereka perlu membayar kos kuarantin, ia menjadi beban.

“Selain itu, saya difahamkan bahawa jika mereka gagal membayarnya, tindakan undang-undang akan diambil. Itu tidak adil,” katanya.