Singapura catat 307 kes baru Covid-19

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi selepas dijangkiti Covid-19 di Singapura. (Gambar Bernama)

SINGAPURA: Singapura mengesahkan sejumlah 307 kes tambahan jangkitan Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 52,512 kes.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam data ringkasnya yang dikeluarkan pada tengah hari di sini menyebut bahawa majoriti kes adalah terdiri daripada pekerja asing yang tinggal di asrama.

Berdasarkan siasatannya setakat ini, kementerian itu berkata hanya terdapat 1 kes dalam komuniti yang melibatkan rakyat Singapura.

Selain itu, MOH berkata, terdapat 5 kes import yang diletakkan di bawah notis duduk di rumah sejurus ketibaan mereka di Singapura.

Dalam data penuh yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasi sejumlah 699 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,179 sebagai kes komuniti dan 49,327 sebagai kes membabitkan penghuni asrama.

Setakat tengah hari semalam, sejumlah 46,491 atau kira-kira 90% daripada keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan koronavirus dan didiscaj dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Terdapat 136 kes disahkan yang masih berada di hospital.

Daripada jumlah ini, kebanyakannya semakin pulih dan tidak ada pesakit yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi.

Sejumlah 5,551 pesakit dengan gejala ringan atau sihat secara klinikal namun diuji positif Covid-19 diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi selepas dijangkiti Covid-19 di Singapura.

Tidak ada kluster baru dikenal pasti semalam.