Bekas wartawan cuba nasib jadi peniaga selepas hilang kerja ketika PKP

Nas Norziela Nasbah bersyukur mendapat sokongan bekas rakan sejawatannya yang membeli roti pelangi dihasilkannya.

PETALING JAYA: Kehilangan pekerjaan ketika perintah kawalan pergerakan tidak mematahkan semangat 2 bekas wartawan untuk mencuba nasib dalam bidang baru demi meneruskan kelangsungan hidup.

Nas Norziela Nasbah, 32, yang ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), menamatkan kerjaya sebagai wartawan selama 11 tahun pada Mac lalu.

Beliau berkata, suaminya sentiasa memberi nasihat dan dorongan kepadanya selepas kehilangan pekerjaan.

“Saya pernah rasa tertekan dan menangis seorang diri bila dapat tahu diberhentikan kerja.

“Sewaktu PKP, suami yang bekerja dari rumah selalu beri sokongan, walaupun kami sedar akan cabaran akan datang yang perlu kami lalui.

“Walaupun mendapat VSS, tetapi tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan duit itu dan perlu berusaha mencari pendapatan lain bagi meneruskan kehidupan,” katanya kepada FMT.

Nas Norziela Nasbah memiliki pengalaman 11 tahun dalam bidang kewartawanan, termasuk 8 tahun berkhidmat dengan Berita Harian.

Sejak itu, beliau mencuba pelbagai cara untuk menjana pendapatan, termasuk membuat roti pelangi dan menawarkan perkhidmatan spa dari rumah ke rumah.

Ibu kepada 2 anak itu bersyukur bekas rakan sejawatannya tidak putus-putus memberi sokongan kepadanya dengan membeli roti pelanginya.

Tetapi, perkhidmatan spa ditawarkannya terpaksa dihentikan buat sementara susulan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19.

Nas masih menaruh harapan untuk kembali ke bidang kewartawanan jika diberikan peluang.

“Buat masa ini, ada satu tawaran dengan sebuah syarikat majalah, tetapi masih dalam peringkat perbincangan.”

Mohd Aizat Shamsuddin mencuba nasib dengan menjual bantal dan pewangi kenderaan atau rumah.

Berkongsi pengalaman sama, seorang lagi bekas wartawan Berita Harian, Mohd Aizat Shamsuddin, 33, menceburi perniagaan atas talian dengan menjadi ejen bantal dan pewangi kenderaan atau rumah.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut mengusahakan rumah tumpangan di kampungnya di Kelantan.

“Apabila disenaraikan untuk diberhentikan, saya terus berfikir untuk mencari jalan mendapatkan pendapatan tambahan selain pampasan yang diterima.

“Dengan pampasan diterima juga, saya jadikannya sebagai modal untuk memulakan perniagaan.”

Beliau mengakui tertekan dan berdepan kesukaran di peringkat awal kerana tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang perniagaan.

“Walaupun jumlah pendapatan yang diperolehi menerusi perniagaan atas talian tidaklah besar dan mencukupi, tetapi sekurang-kurangnya lepas untuk makan dan minum seharian.

“Selebihnya ditampung duit pampasan,” katanya yang perlu membayar ansuran pinjaman kereta dan rumah.

Tetapi, bekas wartawan selama 8 tahun itu melihat situasi dihadapinya dari sudut positif kerana beliau tidak perlu tinggal berjauhan dengan isteri lagi.

“Ketika di hujung karier sebagai wartawan, saya dipindahkan ke Terengganu pada April 2019.

“Jadi apabila diberhentikan, saya mengambil peluang untuk pulang ke kampung di Tanah Merah, Kelantan untuk menetap bersama isteri yang bekerja di Kota Bharu,” kata bapa kepada seorang anak itu.

Beliau bersyukur dengan pelaksanaan moratorium pembayaran balik pinjaman bank dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 1 April hingga 30 Sept ini yang mampu mengurangkan beban kewangan ditanggungnya buat sementara.

“Secara tidak langsung, wang pampasan yang diterima saya dapat simpan.

“Mungkin dengan pampasan yang diterima, cukup selama setahun, tetapi dengan moratorium ini, boleh panjangkan lagi setengah tahun, jika saya tidak mendapat pekerjaan baru,” kata anak jati Kelantan itu.