Bung Moktar: Umno Sabah ada ramai calon ketua menteri

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata, parti itu mempunyai ramai calon yang boleh menjadi ketua menteri sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas PRN yang akan diadakan.

KOTA KINABALU: Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata, parti itu mempunyai ramai calon yang boleh menjadi ketua menteri sekiranya ia berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan.

“Banyak calon, saya boleh, timbalan saya (Yakub Khan) boleh, Datuk Rahman (Dahlan) boleh, Datuk Hasnol (Ayub) boleh… banyak. Kalau boleh jadi ketua menteri 10 orang, semua boleh,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Sabah di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Bung juga mengesahkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada PRN nanti.

“Ya saya akan tanding, di Lamag,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai perkara itu.

Beliau berkata, isu pengagihan kerusi dijangka akan selesai dalam tempoh 2 minggu selepas perbincangan dengan rakan-rakan parti yang lain.

Dalam pada itu, Bung yang juga ahli Parlimen Kinabatangan turut mendedahkan tentang perbincangan dengan Adun yang sebelum ini meninggalkan kerajaan Sabah untuk menyokong Musa Aman.

Bagaimanapun katanya, perbincangan itu belum dimuktamadkan dan masih berjalan.