Contohi Pahang perkasa tulisan Jawi, kata Tuan Ibrahim

Pahang sepatutnya menguatkuasakan dasar papan tanda bertulisan Jawi mulai 1 Januari 2019, tetapi dilanjutkan kepada 30 Jun tahun lalu dan akhirnya 1 Januari tahun ini.

PETALING JAYA: PAS hari ini menggesa semua negeri melaksanakan agenda pemerkasaan tulisan Jawi dengan mencontohi langkah kerajaan Pahang mewajibkan papan tanda tulisan itu di negeri berkenaan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS menyokong langkah kerajaan Pahang mewajibkan tulisan Jawi pada papan tanda dan premis perniagaan memandangkan ia adalah usaha untuk memartabatkan tulisan itu sebagai salah satu teras kebudayaan negara.

“Tindakan itu juga untuk mengukuhkan semula asas pembentukan negara Malaysia yang dibina atas permuafakatan menerima Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan budaya Melayu sebagai teras kebudayaan.

“Sejarah membuktikan perjanjian utama, sama ada pada era penjajahan atau sebelumnya ditulis dalam tulisan Jawi. Bahkan setiap pengisytiharan Majlis Raja-raja, surat rasmi kerajaan dan mata wang juga ditulis dalam tulisan Jawi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Beliau berkata, mana-mana individu yang cuba menentang usaha ini adalah golongan yang lupa daratan dan buta sejarah pembentukan negara.

Terdahulu Adun Tras mewakili DAP, Chow Yu Hui memfailkan permohonan di mahkamah bagi mencabar keputusan kerajaan negeri itu mewajikan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan.

Sementara itu seorang lagi wakil rakyat dari DAP, iaitu Adun Ketari, Young Syefura Othman berharap pelaksanaan dasar itu tidak membebankan rakyat, khasnya peniaga kecil, walaupun DAP negeri menyokong usaha menggalakkan penggunaan tulisan itu.

Dalam perkembangan sama, seorang exco Pahang mempersoalkan tindakan Adun DAP mempolitikkan dasar kerajaan negeri itu yang disifatkannya tiada kaitan dengan agama, sebaliknya merupakan sebahagian daripada bahasa kebangsaan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Mohd Sharkar Shamsudin berkata, arahan itu tidak sukar dilaksanakan.

“Bimbang didenda RM250? Jika bimbang sertakan sahajalah tulisan Jawi di papan tanda premis perniagaan, jika tidak mahu membuat papan tanda baru, tampal sahaja tulisan Jawi mengikut saiz dan ukuran yang ditetapkan,” katanya.

Pahang sepatutnya menguatkuasakan dasar papan tanda bertulisan Jawi mulai 1 Jan 2019, tetapi dilanjutkan kepada 30 Jun tahun lalu dan akhirnya 1 Januari tahun ini.

Peniaga yang enggan meletakkan nama premis dengan tulisan Jawi bersaiz sama dengan tulisan rumi di papan tanda boleh dikompaun maksimum RM250 dan lesen perniagaan dibatalkan jika berdegil.