Data WHO dapati kadar kemalangan maut babit pemandu mabuk di Malaysia antara terendah

Kerajaan membentangkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan di Dewan Rakyat pada 27 Julai lalu untuk melaksanakan hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk.

KUALA LUMPUR: Data terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan kadar kematian di jalan raya berpunca daripada pengambilan alkohol di Malaysia antara terendah.

Laporan keselamatan jalan raya global dari Disember 2018 menunjukkan kurang 1% kematian berkaitan lalu lintas di Malaysia dikaitkan dengan alkohol, jauh di bawah kadar beberapa negara jiran di rantau ini.

Myanmar merekodkan 21% kematian di jalan raya berkaitan alkohol, tertinggi di Asia Tenggara, disusuli Thailand pada 14%, Kemboja 13% dan Singapura 6%.

Malaysia baru-baru ini mengambil tindakan untuk melaksanakan hukuman lebih berat bagi mengurangkan kadar kematian di jalan raya berkaitan alkohol.

Jun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias dalam temubual dengan RTM berkata, 9 kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk dicatatkan sejak Januari hingga Mei tahun ini berbanding keseluruhan 9 kematian disebabkan pemandu mabuk sepanjang tahun lalu.

Beliau menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan dalam kemalangan membabitkan pemandu mabuk bermula awal tahun ini, termasuk dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Statistik polis pada 2018 menunjukkan 191 pemandu kenderaan dan penunggang motosikal didapati memandu di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan 54 kematian.

Kadar tertinggi yang dicatatkan dalam laporan terbaru WHO itu ialah Afrika Selatan, di mana hampir 6 daripada setiap 10 kemalangan maut membabitkan alkohol.

WHO menganggarkan 25.9 kemalangan maut dalam setiap 100,000 penduduk di Afrika Selatan.

Kadar untuk Amerika Syarikat ialah 29% daripada keseluruhan 35,092 kematian di jalan raya sejak 5 tahun lalu.

WHO menganggarkan sekitar 1.35 juta orang di seluruh dunia maut di jalan raya setiap tahun atau kira-kira 3,500 nyawa hilang setiap hari.

Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu menganggarkan 2 juta kematian menjelang 2030, jika tiada usaha diambil untuk mengurangkan kemalangan jalan raya oleh negara anggota PBB dan ia akan mengakibatkan hingga 3% pendapatan kasar domestik bagi banyak negara.