Jangkitan Covid-19 kembali 2 angka dengan 14 kes baru, 17 sembuh

PUTRAJAYA: 14 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini berbanding 9 dicatatkan semalam, manakala 17 pesakit disahkan sembuh.

Angka kematian akibat Covid-19 bagaimanapun kekal 125 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, 2 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 1 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 8,999 kes Covid-19 dengan 8,664 daripadanya disahkan sembuh sementara 210 pesakit dirawat di hospital seluruh negara.

Noor Hisham juga berkata, daripada 14 kes baru hari ini, 1 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan bukan warganegara dari Filipina.

Manakala itu, 13 kes lagi melibatkan penularan dalam negara dan kesemuanya adalah warganegara tempatan.

“13 kes melibatkan warganegara adalah di Kedah, iaitu 11 kes daripada kluster PUI Sivagangga dan di Sabah pula 2 kes, iaitu daripada saringan pintu masuk antarabangsa laut di Labuan.

“Kes pertama di Sabah melibatkan pelajar yang tiba dari Sandakan. Kes kedua pula dari Penampang, yang datang ke Wilayah Persekutuan Labuan untuk bercuti bersama keluarga,” katanya.

Noor Hisham juga menjelaskan mengenai status kluster PUI Sivagangga, iaitu setakat 2 Ogos jam 12 tengah hari, sebanyak 313 orang sudah disaring dan daripada jumlah ini, 20 kes dikesan positif Covid-19, 280 disahkan negatif dan 13 kes masih menunggu keputusan ujian.

“Daripada 20 kes yang dikesan positif, kesemua adalah aktif. Tidak ada yang dirawat di ICU dan tidak ada kematian dilaporkan.

Daripada kes positif dilaporkan, 15 adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan 5 kes bukan warganegara,” jelasnya.

Beliau berkata, pada hari ini juga sebanyak 11 kes positif dilaporkan kepada Pusat Respons dan Kesiapsiagaan Krisis Kebangsaan (CPRC) KKM, dengan 8 kes merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8,975, termasuk 1 pelajar sekolah berumur 7 tahun.

“3 kes lagi merupakan kontak rapat kepada kes positif 8,976, iaitu termasuk 1 kes pelajar berumur 10 tahun.

“Kes ke-8,976 merupakan kes generasi pertama. Kesemua kes sudah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan menerima rawatan,” katanya.