Jumlah tinggi kes Covid-19 di Sarawak akibat saringan aktif 2 hari

Pengarah JKNS, Dr Chin Zin Hing berkata hasil saringan aktif pada 26 dan 27 Julai lalu, ramai individu yang dikenal pasti menjalani ujian swab dan sebilangannya dikesan positif Covid-19.

KUCHING: Jumlah tinggi kes baru Covid-19 di Sarawak dilaporkan 28 Julai lalu akibat saringan aktif selama 2 hari berturut-turut oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching ke atas kluster di daerah itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Chin Zin Hing berkata hasil saringan aktif pada 26 dan 27 Julai itu, ramai individu yang dikenal pasti diambil swab dan sebilangan daripadanya dikesan positif Covid-19.

“JKNS sedia maklum aduan individu yang telah dirujuk dan dimasukkan ke hospital serta dikaitkan kes positif Covid-19, tetapi tidak diambil kira sebagai kes sepertimana yang dilaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri oleh JKNS,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau merujuk kenyataan Adun Pending, Violet Yong Wui Wui di media sosial kelmarin yang mempersoalkan jumlah tinggi kes baru Covid-19 pada 28 Julai lalu, selain dakwaan ada kenalannya yang positif penyakit itu tidak dimasukkan dalam statistik JKNS.

Chin berkata, mereka yang disyaki positif tidak akan diambil kira, tetapi perlu menjalani ujian saringan ulangan terlebih dahulu bagi mendapatkan keputusan sebenar status mereka dan diasingkan daripada pesakit lain di hospital.