Kerajaan cadang buka lebih banyak pusat kesihatan komuniti, kata menteri

Sebuah pusat kesihatan komuniti di Johor Bahru yang menyediakan sesi rundingan dan senaman percuma untuk individu menghidap 4 penyakit, iaitu darah tinggi, diabetis, jantung dan obesiti. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang mewujudkan lebih banyak pusat kesihatan komuniti di seluruh negara bagi membolehkan masyarakat mendapat akses kepada amalan hidup sihat dengan lebih mudah dan murah.

Menterinya Rina Harun berkata, setakat ini, pusat kesihatan komuniti pertama diwujudkan di Johor Bahru yang dikenali sebagai Azlinda Unity Wellness Centre (AUWC).

“Kalau boleh di peringkat permulaan, satu di setiap negeri. Ini inisiatif yang baik kerana pusat kesihatan komuniti ini menyediakan perkhidmatan percuma melibatkan sesi perundingan dan senaman dengan peralatan gimnasium kepada golongan masyarakat yang menderita 4 penyakit, iaitu darah tinggi, diabetis, jantung dan obesiti.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai 4 penyakit berkenaan, mereka hanya dikenakan bayaran RM50 bagi 12 sesi perundingan serta senaman yang diselia pakar kesihatan dan pemakanan bertauliah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan AUWC di Balai Raya Taman Suria di sini hari ini.

Beliau berkata, pusat kesihatan komuniti itu akan dibuka setiap hari, kecuali Ahad, bermula 9 pagi hingga 6 petang.