Kerajaan cakna masalah dihadapi industri, peniaga kecil, kata Azmin

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali menghadiri Majlis Korban Perdana Penggerak Komuniti Negara peringkat negeri Kedah, di Padang Serai hari ini. (Gambar Bernama)

KULIM: Kerajaan sentiasa cakna terhadap permasalahan yang dihadapi industri dan peniaga kecil semasa tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dalam usaha membantu meringankan beban mereka untuk meneruskan operasi perniagaan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau sendiri turun padang ke peringkat akar umbi mendekati golongan itu dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklum balas tentang cabaran dihadapi.

Ini katanya, termasuklah cabaran dalam mengendalikan perniagaan ketika tempoh PKPP agar dapat dipertimbangkan kerajaan untuk bersama-sama merancakkan dan memulihkan ekonomi negara.

“Saya kira dialog seperti ini penting untuk kita merencanakan dan menggubal insentif dan inisiaitif baru,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Penggerak Komuniti Negara peringkat negeri Kedah, di Padang Serai, dekat sini, hari ini.

Azmin berkata, segala maklum balas mengenai permasalahan yang diterimanya sepanjang program dialog yang diadakan antaranya di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang itu dimaklumkan kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

“Kita akan bincangkan di Kuala Lumpur minggu depan. Saya percaya kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa prihatin terhadap usaha ini dan kita akan bersama-sama dalam membangunkan negara,” katanya.

Menurutnya, antara cabaran utama yang dihadapi golongan tersebut adalah masalah kekangan aliran tunai hingga menjejaskan aktiviti syarikat.

Selain itu, wujud kebimbangan syarikat tidak dapat meneruskan operasi sekiranya PKPP diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) terlalu ketat yang sekali gus menyebabkan berlakunya pembuangan pekerja.

“Kita tidak mahu majikan atau mana-mana syarikat memberhentikan pekerja, sebab itu kita cuba menyediakan subsidi upah bagi meringankan beban syarikat dalam keadaan aliran tunai terbatas.

“Kita juga mendapat maklum balas tentang SOP yang perlu diseragamkan. Ini kerana ketidakseragaman SOP kadang-kadang menimbulkan banyak reaksi dan masalah di peringkat akar umbi,” katanya.

Azmin berkata, kerajaan berusaha sedaya upaya untuk membantu golongan itu meneruskan perniagaan mereka selain meneliti sebaik mungkin setiap masalah berkenaan.