Melbourne laksana perintah berkurung malam untuk kawal Covid-19

Seorang wanita memandang ke luar tingkap di sebuah kawasan perumahan awam susulan sekatan pergerakan di Melbourne awal Julai lalu. (Gambar AP)

MELBOURNE: Australia melaksanakan langkah baru untuk mengawal penularan Covid-19 di bandar ke-2 terbesarnya, termasuk perintah berkurung pada waktu malam dan larangan mengadakan upacara perkahwinan buat pertama kali ketika pandemik.

Walaupun sekatan pergerakan mula dilaksanakan awal bulan lalu, Melbourne terus melaporkan ratusan kes baru setiap hari dan pihak berkuasa berkata, penduduk bandar itu perlu mematuhi perintah berkurung dari 8 malam hingga 5 pagi untuk 6 minggu berikutnya.

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews mengisytiharkan pandemik itu sebagai “bencana” pada Ahad dan sekatan di ibu negeri itu dinaikkan ke Tahap 4 sehingga 13 Sept ini akibat tahap jangkitan komuniti “sangat tinggi”.

Penduduk Melbourne hanya dibenarkan membuat latihan tidak lebih 5km dari rumah selama sejam tiap hari, mulai malam ini.

Hanya seorang individu dari setiap keluarga dibenarkan membeli barang keperluan di kedai di daerah sama setiap hari.

Kebanyakan pelajar sekolah dan universiti di Melbourne akan kembali ke sesi pembelajaran dalam talian mulai tengah malam Rabu, hanya beberapa minggu selepas mereka kembali ke sekolah, manakala pusat jagaan kanak-kanak dan tadika ditutup mulai Khamis ini.

Upacara perkahwinan juga dilarang di bandar itu. Pada kemuncak gelombang pertama Covid-19, Australia mengehadkan upacara perkahwinan kepada 5 orang.

“Ini ialah keputusan yang dibuat kerana selain ini, ia tidak dapat melindungi kita.

“Selain daripada langkah ini, ia (penularan Covid-19) akan berlarutan selama berbulan-bulan.”

Sekatan tambahan membabitkan tempat kerja akan diumumkan esok, kata Andrews yang mencadangkan perniagaan tidak penting akan berdepan penutupan.

Victoria, negeri di selatan Australia itu, melaporkan 671 kes baru Covid-19 dan 7 kematian hari ini.

Selain Melbourne, sekatan kawasan lain di Victoria akan dinaikkan ke Tahap 3 mulai tengah malam Rabu, di mana penduduk hanya dibenarkan keluar rumah untuk bekerja, belajar, penjagaan dan membeli barang keperluan.

Negeri dan kawasan lain di Australia melonggarkan sekatan pergerakan kerana tiada atau hanya jumlah kecil kes Covid-19 dilaporkan.

Bagaimanapun, ia melarang pengunjung dari Victoria dan Sydney – satu lagi titik panas virus.

Secara keseluruhan, hampir 18,000 kes baru dan 208 kematian direkodkan di Australia yang mempunyai 25 juta penduduk hari ini.