Pemuda PKR Sabah sokong Shafie

Ketua Pemuda PKR Sabah Raymond Ahuar.

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar berkata, pergerakan itu menyokong penuh Mohd Shafie Apdal dikekalkan sebagai ketua menteri sekiranya gabungan Warisan, Pakatan Harapan (PH) serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) berjaya menubuhkan kerajaan pada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan.

Kenyataan Raymond hari ini ternyata berbeza dengan kenyataan ketua penerangannya, Razeef Rakimin baru-baru ini, yang dilihat enggan menyokong Shafie.

“Shafie wajar diberi peluang untuk kekal sebagai ketua menteri, seterusnya menyelesaikan tugas yang sedang beliau serta menteri Kabinet Sabah sedang laksanakan sepanjang 2 tahun memerintah.

“Beliau (Shafie) merupakan seorang pemimpin yang sangat lantang bersuara, terutama berkaitan negeri Sabah, termasuk dalam usaha menuntut semula hak negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Razeef membidas dakwaan bahawa naib pengerusi PKR negeri mengkhianati “kerajaan PH Plus” di Sabah, kerana meminta pengkritik tidak memaksa mereka menyokong presiden Warisan itu yang didakwa “lebih rela berada di blok bebas” daripada bersama PH.

Razeef mendedahkan majoriti akar umbi menyokong tindakan Kenny Chua menarik balik sokongan kepada “kerajaan Warisan” yang bukan saja “tidak menyokong PH, malah dengan angkuh menindas PKR”.

“Jika kerajaan Sabah kerajaan PH Plus, Shafie tidak akan menolak Amanah di Sabah sehingga parti itu dilihat seolah-olah mengemis,” katanya dalam kenyataan itu.

Susulan itu juga, pengarah strategi PKR, Sim Tze Tzin berkata, Razeef akan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti.

Bagaimanapun, Pemuda PKR pusat berkata, sayap itu tidak bercadang untuk mengambil tindakan terhadap ahli parti di Sabah.

“Pemuda PKR menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan Pemuda PKR Sabah untuk membuat penilaian semasa kerana mereka lebih memahami dinamika politik yang sedang berlaku di sana,” kata setiausaha pemuda PKR Ahmad Syukri Che Ab Razab.

Raymond berkata, pergerakan itu yakin gabungan Shafie serta presiden PKR, Anwar Ibrahim akan memudahkan usaha pengembalian hak Sabah sebagai sebuah wilayah serta hak rakyat negeri ini lebih terbela.

“Kami yakin dengan ketokohan beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita berada di landasan tepat dalam mengangkat agenda Sabah,” katanya sambil menambah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilakukan oleh adalah langkah bijak bagi menyekat cubaan khianat, seterusnya menyerahkan semula mandat kepada rakyat.

Beliau juga berkata, Pemuda PKR akan mengerah semua jenteranya bagi membantu calon daripada PH, Warisan serta Upko pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.