Pergerakan keluar dari Sarawak tidak perlu kebenaran polis

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, pergerakan dari Zon 1 ke Zon 2 dan sebaliknya perlu mendapat kebenaran bertulis daripada balai polis berdekatan.

KUCHING: Pergerakan keluar dari Sarawak ke Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak memerlukan kebenaran pihak polis, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini.

Menurut JPBN, kawalan pergerakan hanya melibatkan pergerakan antara Zon 1 (zon kuning/merah Covid-19) dan Zon 2 (zon hijau Covid-19).

“Kawalan pergerakan di negeri Sarawak dibahagikan kepada 2 zon, iaitu Zon 1 meliputi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, manakala Zon 2 meliputi Bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang,” katanya.

JPBN berkata, mana-mana pergerakan dari Zon 1 ke Zon 2 dan sebaliknya, hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada balai polis yang berdekatan sebelum memulakan pergerakan.

Sarawak hari ini tidak merekodkan sebarang kes positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif wabak itu kekal sebanyak 678.