Polis cadang had bilangan pengunjung ke Teluk Cempedak

Pengunjung sesak di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan, terutama pada hujung minggu sehingga menyukarkan pematuhan arahan penjarakan fizikal. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Polis akan mengemukakan cadangan supaya kemasukan pengunjung ke pantai peranginan Teluk Cempedak di sini, dihadkan terutamanya pada hujung minggu bagi memastikan aspek penjarakan fizikal dapat dipatuhi.

Ketua Polis Daerah Kuantan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, cadangan itu difikirkan perlu ekoran tinjauan pada petang semalam, mendapati jumlah pengunjung di situ terlalu ramai sehingga berlaku kesesakan di laluan masuk ke pantai itu.

“Pengunjung masih berterusan mahu masuk menyebabkan polis terpaksa mengarahkan mereka membuat pusingan-U.

“Kita telah terangkan situasi yang berlaku dan minta supaya mereka kembali semula pada hari lain kerana ini melibatkan aspek keselamatan.

“Walaupun tinjauan di pantai mendapati pengunjung akur menggunakan pelitup muka seperti arahan kerajaan, namun jumlah yang terlalu ramai menyukarkan mereka mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata, cadangan itu akan dibincangkan dengan pihak berkaitan, termasuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan berharap masyarakat dapat memahami tindakan itu terpaksa diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19.”

Mohamad Noor berkata selain Teluk Cempedak, pihaknya akan terus membuat tinjauan di lokasi tumpuan awam sekitar Kuantan, termasuk di pasar bagi memastikan orang awam terus menggunakan pelitup muka.

“Tumpuan juga akan diberikan kepada pengangkutan awam kerana ia melibatkan pelbagai peringkat usia. Pemeriksaan secara mengejut akan dilakukan secara berkala di terminal bas selain sekatan jalan raya.

“Kita berharap pengendali syarikat pengangkutan awam dapat memberikan kerjasama kepada polis dan mematuhi semua garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Noor berkata, polis mengeluarkan kompaun kepada 17 individu kerana tidak memakai pelitup muka dalam operasi pematuhan di sekitar bandar ini, Teluk Cempedak, Terminal Sentral Kuantan dan sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.

Operasi itu diadakan selama 2 jam bermula 4 petang dan selain polis, turut melibatkan anggota tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan MPK.