Sabah terus ketinggalan di bawah Warisan, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, dalam tempoh 8 tahun sebelum kerajaan Sabah bertukar pada pilihan raya umum ke-14, negeri itu mencatatkan kadar pertumbuhan lebih tinggi berbanding kadar direkodkan oleh negara.

PETALING JAYA: Najib Razak mendakwa tindakan kerajaan Warisan membatalkan atau melewatkan projek di Sabah, antaranya Lebuhraya Pan Borneo, menjadi punca negeri itu terus ketinggalan dan mengalami kelembapan ekonomi.

Bekas perdana menteri itu berkata, ia diburukkan lagi susulan keutamaan yang diberikan kepada projek baru seperti empangan Papar bernilai RM3 bilion yang dikatakan dianugerahkan kepada kroni syarikat terowong Pulau Pinang.

Beliau berkata, projek penyelenggaraan jalan berturap Sabah bernilai RM1.5 bilion pula diberi kepada 5 syarikat secara rundingan terus, termasuk syarikat yang terlibat dengan rasuah yang dikaitkan dengan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony.

“Jika kita perhatikan, kerajaan PH terdahulu dan kerajaan Warisan Sabah tidak pernah melancarkan dan melaksanakan pelan strategik yang wajar bagi pertumbuhan Sabah,” katanya di Facebook hari ini.

Katanya, ini berbeza dengan tempoh 8 tahun sebelum kerajaan Sabah bertukar pada pilihan raya umum ke-14, negeri itu mencatatkan kadar pertumbuhan lebih tinggi berbanding kadar direkodkan negara.

“Misalnya pada 2017, kadar Sabah adalah 8.2%, iaitu paling tinggi antara semua negeri dan lebih tinggi berbanding kadar 5.9% bagi seluruh Malaysia.

“Pada 2016, Sabah mencatatkan pertumbuhan 4.7% berbanding kadar 4.2% untuk Malaysia.

“Secara am, ekonomi Sabah berkembang pada kadar lebih pesat berbanding purata untuk negeri-negeri lain sebelum parti Warisan mengambil alih.

“Pada 2018, kadar pertumbuhan Sabah jatuh ke 1.5%, iaitu paling rendah antara semua negeri dalam Malaysia, paling rendah sejak 10 tahun yang lalu dan lebih rendah berbanding kadar pertumbuhan 4.7% Malaysia.

“Ini bermakna Sabah semakin ketinggalan berbanding negeri lain bermula tahun 2018,” katanya.