Tak wajar khianati undi rakyat dengan ‘janji manis’, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berkata, wakil rakyat tidak patut mengubah pegangan dan prinsip mereka, walaupun parti yang disertainya beralih arah dan menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mengingatkan wakil rakyat tidak melupakan janji dibuat pada pilihan raya umum lalu dan amanah diberikan rakyat, selepas beberapa wakil rakyat bertukar kem.

Bekas perdana menteri itu berkata, tindakan itu tidak wajar kerana ia mengkhianati amanah dan mandat yang diberikan rakyat kepada mereka selepas dipilih sebagai wakil rakyat.

“Yang jadi masalah di negara kita, setelah rakyat pilih kerajaan, ada cara digunakan untuk menidakkan pilihan rakyat. Ini saya fikir sesuatu yang tidak baik, tidak patut dilakukan kerana kita janji kepada rakyat, kerana janji kita itu, maka rakyat sokong kita.

“Kita mesti tunaikan janji, tetapi sebaliknya walaupun kita janji, kita gunakan kedudukan kita untuk menolak pilihan rakyat. Ini tidak baik, atau ada cara boleh buat demikian, kita tidak harus buat demikian,” katanya dalam forum bertajuk “Wawasan 2020” malam tadi.

Beliau menjawab soalan berhubung tindakan beberapa wakil rakyat bertukar kem untuk menyokong bekas ketua menteri, Musa Aman yang cuba menjatuhkan kerajaan Sabah pimpinan Warisan.

Mahathir berkata, wakil rakyat tidak patut mengubah pegangan dan prinsip mereka, walaupun parti yang disertainya beralih arah dan menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.

“Apa yang berlaku kadang-kadang bukan parti yang menyeleweng, tetapi janji-janji manis yang dibuat pihak lain, kita lupa janji yang dibuat terhadap rakyat. Ini tidak baik bagi sesebuah negara demokratik kerana kita abaikan janji pada rakyat.”

Terdahulu, DAP Sabah mendakwa 7 Adunnya ditawarkan wang dan jawatan supaya berpaling tadah berikutan desas-desus kerajaan negeri akan jatuh ke tangan pembangkang.

Dua Adunnya, Jannie Lasimbang dan Calvin Chong dilaporkan berkata, laporan polis dibuat selepas mereka didatangi individu yang didakwa “ejen politik” daripada “pihak sebelah”.

PKR pula bertindak memecat Naib Ketuanya di Sabah dan Adun Inanam, Kenny Chua serta-merta yang dilihat menghadiri sidang media Musa untuk mengumumkan beliau mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baru.

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah pada 30 Julai lalu selepas dipersetujui Gabenor Juhar Mahiruddin untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari.