UDA peruntuk insentif RM10 juta bantu penyewa terkesan Covid-19

Antara pusat beli-belah seliaan UDA ialah Angsana Mall Johor Bahru, Angsana Mall Ipoh, Angsana Seremban dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur.

SEREMBAN: UDA Holdings Berhad (UDA) memperuntukkan insentif sebanyak RM10 juta bagi membantu kira-kira 1,500 usahawan bumiputera yang menyewa dan berniaga di premis pusat beli-belah seliaanya di bandar utama seluruh negara.

Pengerusinya Jalaluddin Alias berkata, sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, UDA bertanggungjawab membantu usahawan bumiputera, khususnya ketika negara sedang berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, antara pusat beli-belah seliaan UDA ialah Angsana Mall Johor Bahru, Angsana Mall Ipoh, Angsana Seremban dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur.

“Insentif tersebut adalah seperti pengecualian 1 bulan sewa kepada penyewa yang menjual barangan tidak perlu, 50% diskaun kepada penyewa yang menjual barangan perlu, semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Selain itu, pengurangan sewa 20% turut diberikan kepada penyewa setelah tamat tempoh PKP sehingga September, manakala penyewa tetap dibenarkan mempunyai sewa tertunggak selama 3 bulan sehingga 30 Sept nanti,” katanya kepada pemberita selepas program Korban Perdana UDA di (UTC) Seremban di sini, hari ini.

Jalaluddin yang juga ahli Parlimen Jelebu berharap, menerusi insentif ini ia dapat merangsangkan perniagaan dan ekonomi usahawan berkenaan.

Program Korban Perdana UDA 2020 dijalankan serentak di seluruh negara mulai Jumaat sehingga hari ini, menyasarkan surau dan masjid terpilih di beberapa negeri.