Bekas timbalan menteri kecewa pengambilan guru pendidikan khas ditangguh

Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata, guru Pendidikan khas sangat penting bagi golongan Murid Berkeperluan Khas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching kecewa dengan penangguhan pengambilan guru pendidikan khas secara kontrak.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata, pengambilan guru secara kontrak sepatutnya bermula April lalu.

“Amat menyedihkan kerana perkara yang penting ini telah ditunda ke tahun depan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Mah Hang Soon berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan pengambilan pelajar bagi program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Khas di Institusi Pendidikan Guru sebagai usaha menambah bilangan guru pendidikan khas.

Mah berkata, seramai 180 orang pelajar PISMP ditawarkan tempat bagi tahun 2020.

“Dengan ini, jumlah bekalan guru baru untuk tahun 2022 hingga 2025 adalah seramai 516 orang.

“KPM telah melakukan perancangan untuk melaksanakan pengambilan guru pendidikan khas secara kontrak pada tahun 2021 mengikut keperluan,” kata Mah ketika menjawab soalan Teo berhubung usaha kerajaan untuk menambah bilangan guru pendidikan khas.

Teo berkata, jawapan diberikan Mah pada pagi ini di Dewan Rakyat adalah amat mengecewakan.

Beliau berkata, Mah gagal menjawab satu soalan yang sangat “straight forward”.

“(Kita) kekurangan guru pendidikan khas sekarang. Bagaimana kita nak tahu sama ada bekalan 516 guru pendidikan khas baru untuk 2020 hingga 2025 adalah mencukupi sekiranya kita tidak tahu keadaan kekurangan sekarang.

“Pendidikan khas sangat penting bagi golongan Murid Berkeperluan Khas (MBK). Saya harap KPM di bawah PN akan terus mengambil tindakan yang lebih agresif dan berkesan untuk memastikan kejayaan Zero Reject Policy”/Polisi Penolakan Sifar,” katanya.